28 C
Kota Kinabalu
Isnin, November 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

28 peserta bertanding dalam 9th Ranau Kaamatan International 4×4 Off-road Challenge

Jonathan (tengah) dan lain-lain membuat pelepasan peserta Ranau Kaamatan International 4×4 Off-road Challenge


RANAU: Seramai 28 peserta dari seluruh Sabah berentap merebut kejuaraan19th Ranau Kaamatan International 4×4 Off-road Challenge yang diadakan di Kg Lohan Ranau dekat sini baru-baru ini.


Ahli Parlimen Ranau, YB Datuk Jonathan Yasin hadir merasmikan pertandingan anuran Ranau Four-Wheel-Drive Association (RFWDA) tersebut, sekaligus membuat pelepasan peserta dalam acara tahunan tersebut.


Dalam ucapannya, beliau berkata, setiap aktiviti sukan yang dijalankan perlu ada venue khas yang sesuai untuk dijalankan bagi mengelakkan masalah yang berbangkit.


“Tahun lalu sukan lasak ini diadakan di Sungai Liwagu dan mengakibatkan kesesakan jalan raya yang panjang dan menjurus kepada masalah-masalah tertentu yang berbangkit.


“Itu menunjukkan bahawa setiap aktiviti sukan yang dijalankan perlu ada venue khas yang sesuai untuk dijalankan bagi mengelakkan masalah kepada mereka yang tidak terlibat dengan acara tersebut.


“Justeru saya menggesa pengerusi persatuan ini untuk mengemukakan surat permohonan khas kepada YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor untuk menjadikan tapak ini sebagai lapangan atau litar acara 4×4 di sini,” katanya.


Jonathan berkata, ini akan memastikan bahawa acara sukan lasak ini akan menjadi satu sukan yang dapat dimajukan dengan lebih bagus dan mengelakkan halangan-halangan yang membantut kemajuan sukan ini di daerah Ranau.


Dalam pada itu, beliau berterimakasih kepada Jawatankuasa 4×4 Ranau kerana memberikan segala tenaga, masa, wang ringgit dan kepakaran yang ada dalam memastikan supaya penganjuran program ini berjalan dengan lancar.

Jonathan, Aliyu dan salah satu pemenang dalam acara tersebut


Penganjuran kali yang ke-19 ini, katanya, membuktikan bahawa persatuan ini sungguh-sungguh memberikan komitmen yang penuh supaya sukan lasak di Daerah Ranau dapat terus diadakan setiap tahun.


“Komitmen ini juga membuktikan dengan jelas bahawa daerah ini memerlukan satu tempak khas yang kekal untuk dijadikan tapak penganjuran sukan lasak di kawasan ini.


“Penganjuran ke-19 ini bukanlah suatu yang mudah kerana ia membawa erti bahawa para penggiat sukan 4×4 di sini sudah memfokuskan perhatian mereka dalam bidang ini dalam satu tempoh masa yang begitu panjang.


“Terimakasih juga kepada semua peserta atas sokongan yang berterusan kepada penganjuran aktiviti ini yang mana sekaligus dapat sedikit sebanyak menyumbang kepada ekonomi daerah ini dan melonjakkan nama Ranau dalam acara ini.


“Kita juga berterimakasih kepada semua penyumbang, termasuk ADUN Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam, ADUN Paginatan Datuk Abidin MAdingkir dan lain-lain pihak yang menyumbang sehingga terealisasinya program ini,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi RFWDA Aliyu Zinin berkata, untuk penganjuran pertandingan yang ke-20 tahun hadapan, diharapkan agar lebih ramai peserta termasuk dari Semenanjung Malaysia akan menyertai.


“Dalam kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Jonathan Yasin atas sokongan beliau, dan juga semua penyumbang yang membolehkan kita jayakan penganjuran program ini pada tahun ini,” katanya.


Turut hadir, Alex dan Reza dari SFWDA, Pengerusi-Pengerusi persatuan 4×4 dari Keningau, Kota Marudu, Brunei dan kawasan lain, kakitangan dari Pejabat Parlimen Ranau dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN