ABIDIN ketika mengunjungi Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kawasan Dun Paginatan
RUMAH terbuka ditakrifkan sebagai suatu perayaan agama yang bukan sahaja disambut oleh penganut agama itu sendiri bahkan kaum lain. Biasanya rumah terbuka diadakan di satu tempat yang lebih luas atau dewan untuk mewujudkan ruang keselesaan.
Di Malaysia rumah terbuka sudah menjadi satu tradisi setiap perayaan utama seperti Hari Raya, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Gawai dan Krismas. Semasa perayaan, masyarakat tanpa mengambil kira kaum dan agama dijemput berkunjung ke rumah-rumah terbuka untuk bersama-sama merayakan majlis tersebut.
Mungkin pada tanggapan kita, perkara asas bagi rumah terbuka adalah sekadar menyambut tetamu melalui suasana sambutan dan pelbagai hid
angan. Namun sebenarnya rahmat yang tersirat di sebaliknya ialah rumah terbuka adalah satu medan terbaik untuk mengeratkan lagi perpaduan antara kaum yang sudah sekian lama terjalin.
Menurut Datuk Abidin Madingkir, kunjungan ke rumah-rumah terbuka pada tahun ini kembali meriah setelah dua tahun tidak dibenarkan akibat pandemik. Kelonggaran SOP fasa Endemik pencegahan Covid19 oleh kerajaan bermula 1 Mei lalu disambut baik segenap lapisan masyarakat terutama merayakan suasana hari raya dan pesta kaamatan dalam bulan ini.
Antara yang sempat dihadiri Datuk Abidin bersama rakan-rakan ialah rumah terbuka di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah bersama Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin, rumah terbuka Ahidi Kasaman (Ketua Kampung Kigiok), rumah terbuka Rajibin Rasman (Kampung Lingkudau), rumah terbuka Hajah Roseh @ Seriah Yamalid (Kampung Silad), rumah terbuka Winek Yuni (Kampung Kesisingon) dan rumah terbuka Hasiah Naribin (Kampung Lohan 2).
Bagi Datuk Abidin, terlalu banyak kelebihan dan hikmah yang ada apabila tiba musim-musim perayaan.
“Sebagai contoh di hari raya, orang-orang kristian dijemput oleh rakan-rakan muslim dan pada musim-musim Krismas orang-orang Islam pula dijemput oleh rakan-rakan kristian. Demikian juga perayaan lain seperti Deepavali, Tahun Baharu Cina dan Gawai. Inilah satu keunikan yang wujud di negara kita dan harus kita kekalkan sepanjang zaman,” katanya ketika bersama-sama penulis menghadiri rumah-rumah terbuka tersebut.
“Kita juga perlu bersyukur kerana dapat tinggal di sebuah negara yang bebas dan aman berbanding negara lain berhadapan bermacam kekacauan. Di tengah-tengah masyarakat berbilang kaum dan agama kita bersama-sama menikmati perayaan melalui rumah-rumah terbuka seperti aidilftri. Amalan ini memberi kefahaman kepada masyarakat tentang nilai hidup kesamarataan dan sifat berbaik-baik sesama manusia,” katanya lagi.
Bagi Siti Nurjana Abas (Pengerusi JPKK Kampung Kebuh Baru) yang juga turut serta dalam rombongan Datuk Abidin menyifatkan selain mengeratkan silaturahim, rumah terbuka juga mampu mempertemukan sanak saudara yang selama ini tidak dikenali.
“Saya bertuah pada tahun ini kerana telah mengenali saudara sendiri di rumah terbuka Ketua Wiranita Paginatan, Winek Yuni di Kampung Kesisingon. Malah sesama rombongan saya mengenali OKK Muhasip Hj. Ruman juga ada ikatan persaudaraan. Inilah kelebihan rumah terbuka. Kita dipertemukan dan berkesempatan berkenalan lebih mendalam antara satu sama lain,” katanya.
Adik Cassandra Albert (pelajar Tingkatan 4) ketika ditemui penulis berkata, dia juga terlalu gembira kerana dapat mengenali kawan baru semasa menghadiri rumah terbuka.
“Kawan memang ada di mana-mana. Di sekolah juga ramai kawan tetapi bagi saya kawan yang saya kenali semasa Hari Raya adalah kawan yang istimewa. Kawan baru saya Holy Kristal. Unik namanya dan orangnya baik hati. Kami sama-sama datang berhari raya dan makan bersama-sama di tempat ini. Kami gembira dapat bertukar-tukar cerita. Kami juga berterimakasih kepada tuan rumah kerana melayan kami dengan mesra dan baik sekali,” katanya.



