TERUJA…. Pelajar Sekolah Antarabangsa Labuan, Ridha Syazuan Rithuan yang ditemani ibunya teruja selepas menerima suntikan vaksin COVID 19.
LABUAN: Kira-kira 2,500 pelajar sekolah menengah di pulau ini yang berumur 16 dan 17 tahun menerima suntikan vaksin dos pertama COVID 19 secara berperingkat bermula pada Sabtu.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, berkata, program yang dijalankan secara berperingkat itu adalah sebahagian daripada persediaan sebelum permulaan sesi persekolahan bersemuka yang dijadual pada 4 Oktober depan.
Katanya, dua buah pusat pemberian vaksin tersebut masing-masing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Darul Kifayah dan PPV Kolej Matrikulasi Labuan.
“Selain program vaksinasi kepada pelajar, JPBD Labuan juga akan melaksanakan program sanitasi di semua peringkat sekolah… dan ini adalah salah satu usaha kerjasama JBPD dan Jabatan Pendidikan Labuan dalam menyusun dan merangka program kesihatan dan keselamatan pelajar terjamin di kawasan sekolah”, katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Program Imunisasi COVID 19 Remaja di Dewan Darul Kifayah, di sini pada Sabtu.

SUNTIK…. Dr Ismuni melakukan suntikan vaksin dos pertama kepada salah seorang pelajar SMK Labuan.
Rithuan yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana memilih Labuan sebagai negeri kedua pelaksanaan Program Imunisasi COVID 19 untuk golongan remaja berumur `16 dan 17 tahun.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Ismuni Bohari berkata, bekalan vaksin yang dibekalkan untuk Labuan adalah mencukupi.
“ Selepas ini kita akan buka kepada remaja yang tidak bersekolah atau tercicir untuk menerima vaksin yang akan dijalan secara jumpa terus” katanya.
12 buah sekolah menengah yang terlibat dalam pemberian vaksin dos pertama itu ialah SMK Mutiara, SM Sains Labuan, SMK Taman Perumahan Bedaun, SMK Lajau dan Kolej Matrikulasi.
Manakala enam lagi sekolah menengah lain ialah SMK Labuan, Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), SM St. Anne, SMK Anthony dan SMK Rancha-Rancha.