Gambar Atas: Suzzana Karumin
LABUAN: 23 buah Taman Asuhan Kanak Kanak (Taska) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Labuan dijangka akan memulakan operasinya pada 12 Mei depan.
Ia berikutan keputusan kerajaan yang membenarkan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan perniagaan bermula 4 Mei lalu termasuk sektor penjagaan sosial melibatkan pusat penjagaTaska.
Bagaimanapun Pengerusi Pengasuh Taska Berdaftar Labuan, Suzana Karumin berkata pembukaan taska berkenaan bergantung kepada kesediaan pengusaha taska serta jumlah kanak-kanak berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan.
“ Ini kerana ia sangat penting kepada pengusaha, pendidik dan ibu bapa untuk bekerjasama dan mengamal garis panduan yang ditetapkan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku di taska” katanya ketika ditemui RTM di sini, baru-baru ini.
Dalam waktu yang sama beliau memaklumkan kepada semua pengusaha dan penjaga Taska telah diberi taklimat berkaitan SOP yang perlu dipatuhi sebelum, semasa dan selepas pengoperasian.
Jelasnya lagi, semua pengusaha dan pendidik disetiap taska perlu menjalani saringan kesihatan disamping mendapat latihan dan nasihat mengenai penjagaan keselamatan dan kesihatan semasa berada di taska.
Sementara itu, Pengerusi Pengurusan Bencana Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman mengingatkan pengusaha taska supaya sentiasa mematuhi SOP garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan keselamatan kanak-kanak itu terjamin. –TAMAT