Rozana Kamis.
LABUAN : Seramai 22 peserta Grup Basikal Kampung Pohon Batu Tarikk Siss, Wilayah Persekutuan Labuan telah menjayakan Kayuhan Muhibah Labuan ke Beaufort 2021 yang diadakan baru-baru ini.
Pengerusi Grup Basikal Kampung Pohon Batu Tarikk Siss, Rozana Kamis berkata program itu yang disertai 10 peserta lelaki dan 12 perempuan bertujuan untuk mencari pengalaman baharu bagi kumpulan tersebut di samping mengeratkan hubungan sesama ahli.
“Lebih penting menerusi program kayuhan muhibah itu kami dapat menjalinkan persahabatan dengan Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort,”katanya.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Mohammad Syahffie Haji Japril melepaskan peserta kayuhan di Terminal Feri Kenderaan sebelum menaiki feri pukul 6.30 pagi.
Sebaik tiba di Terminal Pelabuhan Menumbok, peserta meneruskan kayuhan pukul 9 pagi dan tiba 12.30 tengah hari di rumah Timbalan Pengerusi Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort, Haji Jufri Etok di Klias Kecil.

Pengarah JBS Labuan, Mohammad Syahffie melepaskan peserta kayuhan bersama di Terminal Feri Kenderaan.
“Kami meneruskan kayuhan pukul 1.30 petang dan tiba di Pekan Beaufort 2.30 petang,”katanya.
Ketibaan rombongan Berbasikal Pohon Batu disambut oleh Presiden Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort, Haji Yunus Haji Abdul Rajah.
Rozana berharap Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort akan mengadakan kunjungan balas ke Pohon Batu pada tahun depan untuk mereka melihat sendiri pembangunan di Kampung Pohon Batu dan Wilayah Persekutuan Labuan amnya.
“Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan komitmen Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort dalam menjayakan program yang pertama kali diadakan itu,”kata Rozana lagi.
Tambah Rozana, perjalanan sejauh 72.44 km dari Jalan Kampung Kilugus dan Kiambor menuju ke Pekan Beaufort amat mencabar peserta.
Sementara itu, Rozana tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Ketua Kampung Pohon Batu, Haryadi Omar, Timbalan Pengerusi, Karim Lakat, Setiausaha, Mohd Shazlie Sahak dan Bendahari, Zaidi Bata atas komitmen dan kerjasama padu mereka menjayakan program tersebut.
“Walaupun peserta kepenatan, saya yakin program itu menaikkan semangat mereka untuk meneruskan kayuhan ke tempat lain pula pada masa akan datang,”katanya.