Suhaili dan Megat Azlani bersama penerima bantuan motosikal Sejahtera MADANI.
LABUAN: Seramai 20 penerima miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-kasih menerima bantuan motosikal menerusi Program Sejahtera MADANI Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan dan Unit Penyelarasan Pelaksana (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Majlis yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Sungai Labu disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman, pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksana (ICU), Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan, Megat Azlani Megat Ramli.
Menurut Megat Azlani Program Sejahtera MADANI merupakan salah satu agenda pembasmian kemiskinan Malaysia MADANI yang memberi impak positif kepada golongan sasar.
” Program Sejahtera MADANI sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam agenda pembasmian kemiskinan secara holistik, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI”, katanya.
Bantuan tersebut mampu membantu aktiviti ekonomi seperti perkhidmatan penghantaran dan pekerjaan harian.
Selain penyerahan bantuan sumbangan motosikal, turut disampaikan bantuan peralatan nelayan kepada penerima iaitu bubu ketam, enjin sangkut dan pukat bagi menyokong aktiviti ekomomi penerima.



