Gambar: MAT REMPET yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Tun Mustapha, baru-baru ini.
LABUAN: Sebanyak 20 buah motosikal bersama 23 individu telah diperiksa dipercayai terlibat dalam aktiviti merempit dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Tun Mustapha dan Pohon Batu, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata, lima buah motosikal bersama remaja berumur 16 hingga 19 tahun ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Manakala seorang lagi lelaki 21tahun turut ditahan dalam operasi itu selepas individu berkenaan tidak memiliki dokumen diri yang sah. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1963.
Ahmad berkata, operasi yang bertujuan untuk membanteras aktiviti samseng jalanan itu turut mengeluarkan 9 keping saman atas pelbagai kesalahan.
“Operasi yang bermula jam11 malam hingga hingga 5 pagi itu melibatkan 11 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) yang ditumpukan di Jalan Tun Mustapha dan Jalan Pohon Batu
“ Kedua lokasi ini sering mendapat aduan masyarakat mengenai aktiviti mat rempit serta aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya dan menganggu ketenteraman awam”, katanya dalam satu kenyataan disni.
Beliau turut menasihat ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan serta kegiatan anak-anak agar tidak terlibat dalam aktiviti merempit, kerana ia boleh membahayakan nyawa selain boleh didakwa di mahkamah.
“Kegiatan mat rempet juga menyusahkan masyarakat selain boleh menjerumuskan para remaja terlibat dengan aktiviti jenayah dan juga dadah” ,katanya.