KENANGAN…Para peserta bergambar ramai bersama Jaharin ( duduk empat dari kanan), Jusnah (duduk tiga dari kanan), Tan Eng Sing (duduk empat dari kiri), William (duduk tiga dari kiri) dan Nordiana (duduk dua kiri).
RANAU: Seramai 19 orang wanita dan suri rumah menyertai Kursus Manik dan Dalai Siri 2, anjuran Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar (JKDB) pekan Ranau.
Kursus singkat itu di bawah bimbingan oleh seorang berpengalam yang juga Usahawan Kraftangan Sabah, Jusnah Jinos sebagai Urulatih seperti kursus pertama berasaskan Dalai atau Manik.
Siri kedua itu para peserta telah dibimbing tentang sulaman manik membentuk ‘Pinadang’ yang perlu dikuasai serta difahami oleh semua peserta.
Menurut Jusnah para peserta perlu memahami bagaimana menghasilkan Pinadang yang merupakan satu khazana kraftangan tradisi yang dipelopori suku Kaum Dusun Ranau amat penting diwarisi bukan sahaja membuatnya malah pemakaiannya oleh generasi muda kaum Dusun Ranau.
Beliau turut memuji kehadiran seorang peserta suku kaum Cina dan seorang lagi Sino Dusun ke kursus tersebut.
“Dengan kemahiran membuat kraftangan Dalai Manik Pinadang ini, boleh menjana pendapatan lumayan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh”, jelas Jusnah.
“Saya mencadangkan setiap rumah suku kaum Dusun di Ranau perlu menyimpan ‘Pinadang’ sebagai pameran serta rujukan generasi muda yang mungkin tidak mengetahui bagaimana membuatnya.
“Saya nengsyorkan supaya setiap rumah suku kaum Dusun, ada menyimpan Pinadang sebagai salah satu Eksesori wajib dalam busana Dusun Liwan,” tambah Jusnah.
Sementara itu, Penolong Pegawai Perhubungan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, Jaharin Bin Angko ketika berucap menangguhkan kursus itu, menyeru kepada peserta supaya meneruskan pengalaman serta pengetahuan yang diperolehi dan tidak hanya aktif semasa mengikuti kursus sahaja, sebaliknya meneruskan pengetahuan yang ada untuk mencipta idea-idea baru bagi menghasilkan corak dan bentuk Pinadang yang lebih menarik dan berkualiti yang pastinya lebih bernilai boleh dipasarkan hingga ke luar negeri.
Jaharin memuji Jawatankuasa penganjur (JKDB) kerana sentiasa punyai wawasan menganjurkan program bermanfaat untuk warga Ranau.
Pengerusi JKDB Ranau, Tan Eng Sing, turut berterima kasih atas kehadiran Jaharin bagi menyempurnakan majlis penutupan kursus dan menyampaikan Sijil Penyertaan kepada semua peserta.
Beliau juga berterima kasih kepada Jusnah kerana sudi hadir ke program kursus kali ke dua itu untuk membimbing para peserta.
Ketua Biro Inovasi dan Prasarana JKDB, Nordiana Ansow dalam ucapan ringkasnya, memberitahu projek seterusnya ialah, membuat Pinadang terbesar dan terpanjang, bagaimanapun masih dalam peringkat perbincangan kerana memerlukan idea dan sokongan lebih ramai peserta dan sumber kewangan yang mencukupi.
“Projek ini kelak, mampu mempromosikan daerah Ranau sebagai daerah terkenal dengan Seni Kraft Tangan Dusun di Sabah”, jelas Nordiana.
Turut hadir pada majlis penangguhan itu ialah, Setiausaha JKDB, William Babah Dunggi.