BERSAING…. 17 Jelitawan akan merebut gelaran ‘Unduk Ngadau’ Pesta Kaamatan peringkat daerah Ranau 2022.
RANAU: Seramai 17 jelitawan dari daerah ini akan berantap meraih gelaran ‘Unduk Ngadau’ Kaamatan (Ratu Pesta Menuai) peringkat daerah di Dewan Masyarakat Ranau pada 14 Mei 2022 bermula 8.00 pagi yang akan dirasmikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.
Pengerusi Jawatankuasa pertandingan Unduk Ngadau (UN) Ranau, Florencia Padasian memberitahu, semua peserta akan mengikuti pelbagai program termasuklah, aktiviti amal dan lawatan ke pusat-pusat kebajikan sekitar Ranau sebelum 14 Mei.
Menurut Florencia, antara program yang akan diadakan ialah, aktiviti Motivasi, Kelas Bahasa Kadazandusun, Taklimat PEMADAM dan Sodop Pointutunan (Talentime) di Lohan Resthouse.
“Program menarik tahun ini ialah aktiviti Memasak melibatkan semua peserta akan diadakan sekitar Bombon Marakau sebelum ‘Gala Nite’ di Dewan Masyarakat Ranau pada 7 Mei bermula 7.00 malam akan dirasmikan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin”, tambah Florencia yang juga Penolong Pegawai Daerah Ranau (Pentadbiran).
Beliau memaklumkan, peserta yang akan dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Ranau pada 14 Mei kelak akan mewakili daerah Ranau ke pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri Sabah di Hongkod Koisaan Penampang pada 31 Mei.
           Â