Julita menyerahkan bantuan bakul makanan kepada salah seorang Ketua Isi Rumah bagi kawasan Matunggong di Pejabat Daerah Kecil Matunggong kelmarin.
KUDAT: Kira-kira 1,612 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong mendapat bekalan bantuan bakul makanan yang bertujuan meringankan beban mereka.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas bantuan bakul makanan kepada 1,612 ketua isi rumah di kawasan ini.
Pemberian ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan GRS yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam membantu golongan susah dan miskin.
Agihan bakul makanan ini adalah kepada golongan yangg tersenarai dalam e-kasih dari Daerah Kecil Matunggong. Selain senarai e-kasih, kerajaan juga turut memberi bantuan kepada golongan B40 dengan pemberian ‘one off’ secara tunai yang disalurkan terus kepada akaun penerima.
“Pejabat Daerah Kecil Matunggong hampir selesai mengagihkan jumlah bakul lebih kurang 98 peratus di seluruh kawasan Matunggong,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki ketika berucap pada majlis penyerahan bakul makanan itu di sini.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat menzahirkan penghargaan kepada kerajaan GRS yang tidak putus-putus memberikan bantuan bakul makanan kepada semua golongan termasuk mereka yang tersenarai di dalam senarai e-kasih di kawasan Matunggong.
Katanya, ini membuktikan bahawa kerajaan GRS akan terus membela rakyat dalam terutama ketika mereka berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Pada masa sama katanya, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam menjayakan program itu dan kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk membantu golongan yang layak. Sekiranya masih ada yang tercicir khususnya golongan B40, diminta untuk berhubung dengan Pejabat Daerah Kecil Matunggong.
“Tanpa kerjasama semua pihak program seumpama ini tidak akan berjaya. Saya ucapkan tahniah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang melibatkan empat anggota dan semua kakitangan Pejabat Daerah Kecil Matunggong atas komitmen tinggi yang diberikan dalam melaksanakan program agihan dengan jayanya,” katanya.
Turut hadir dalam majlis penyerahan bantuan bakul makanan ialah Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Francis Chong; Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) Matunggong, Marius Masain; Pegawai kebajikan Daerah Kecil Matunggong Connie Jikisoi dan Pegawai Pemaju Masyarakat Matunggong, Epson Kawahui.