YUSOP (dua kiri) menerima cenderamata daripada Yahya sambil diperhatikan Murni Jaafar.
LABUAN: Seramai 160 murid Tingkatan 5 SMK Mutiara Labuan menjayakan program Gallery Walk Perdana yang berlangsung di sekolah berkenaan baru baru ini.
Program Gallery Walk Perdana yang diadakan selama 10 hari itu dikelolakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Hisham Abdul Aziz dan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Yusop Muhamad.
Menurut Hisham, Program Gallery Walk merupakan strategi pembelajaran melalui kaedah perbincangan yang memberi kepada murid untuk lebih memahami tentang sesuatu perkara atau topik pembelajaran.
“Program yang julung kali diadakan ini adalah hasil cetusan idea Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh,” katanya.
Sementara itu, Yusop ketika merasmikan program tersebut menzahirkan rasa syukur kepada semua warga SMK Mutiara kerana berjaya mengadakan satu program yang cukup bermakna buat calon SPM 2021.
Beliau mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang telah berjaya mengaplikasi kemahiran aras tinggi seperti menganalisis, menilai dan membuat sintesis sepanjang sesi Program Gallery Walk Perdana ini berlangsung.

Dari kanan: Ustaz Haji Zainal, Hisham dan Ustaz Saifulizzan bersama banting Peta Minda dari Panitia Pendidikan Islam.
“Sikap yang positif dan motivasi yang tinggi diperlukan dalam kegiatan pembelajaran kerana kedua-dua faktor ini berperanan sebagai pendorong seseorang murid untuk meneruskan aktiviti pembelajaran dan melakukan sesuatu tindakan yang dapat meningkatkan pencapaian mereka,”katanya.
Yusup berkata pada tahun lepas, pencapaian SPM di SMK Mutiara telah meningkat walaupun berdepan dengan situasi pandemik yang hebat.
“Saya percaya pencapaian ini dapat diulang semula dan ditingkatkan untuk memastikan agar SMK Mutiara HEBAT, kekal terpahat di hati semua warganya,”katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWP) yang menyumbang dana bagi menjayakan program tersebut.
“Saya mahu program ini diteruskan pada masa hadapan dengan pelibatan lebih meluas dari murid tingkatan yang berlainan,”katanya.
Turut hadir pegawai dari Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Labuan, Penolong Pengarah Unit Sains Sosial, Murni Jaafar, Pegawai SISC+, Unit TVET, Juraidah Aman, Pegawai SISC+, Unit TVET, Mohd Daud Abdullah, Pegawai SISC+, Unit Sains & Matematik, Arni Samirati Abdol Samad, Pegawai SISC+, Unit Sains Sosial, Suriani Alland Rice Oxley dan Pegawai SISC+, Unit Bahasa, Dr. Hyginus Lester Junior Lee.
Hadir sama Pegawai Perhubungan Sekolah dari IPD Labuan, Inspektor Thomas Anak Kian dan Sarjan Ismai.