RUDDY ( gambar) ..Nafi sokong Warisan bentuk kerajaan.
Oleh: Marutin Ansiung
PITAS:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas Ruddy Awah menafikan dakwaan bahawa beliau akan menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk membentuk kerajaan.
Katanya, beberapa hari ini tersebar mesej memaparkan nama beliau dan beberapa pemimpin lain di aplikasi WhatsApp didakwa akan menyokong Warisan untuk membentuk kerajaan di Negeri Sabah adalah tidak benar.
“Saya menafikan dakwaan dalam mesej tersebut yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana ia adalah fitnah semata-mata.
Di sini saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong penuh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor“ katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Oleh itu katanya, beliau menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran mesej berkenaan dan menyiasat dahulu kesahihan maklumat yang disebarkan di media sosial.
Sementara itu di Kota Kinabalu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak dakwaan di media sosial bahawa Datuk Seri Shafie Apdal akan kembali dan dilantik sebagai ketua menteri.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, bahawa ini “omong kosong” kerana kerajaan negeri GRS masih kukuh.
“Tidak ada kebenaran dalam perkara ini” kata Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) itu.