SEBAHAGIAN peserta yang menyertai seminar tersebut.
Oleh: JAINUDIN DJIMIN
LABUAN: Seramai 120 peserta menjayakan Seminar Pembangunan dan Pengurusan Strata Tahun 2023 anjuran bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Labuan dan Kelab Sukan dan Kebajikan JUPEM Labuan.
Seminar yang diadakan di Hotel Tiara Labuan itu melibatkan penyertaan dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, Negara Brunei Darussalam dan Labuan selaku tuan rumah.
Menurut Timbalan Pengarah JUPEM Labuan, Sr Zulkifli Abd. Halim, seminar yang julung kalinya diadakan itu merupakan inisiatif jabatan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada kumpulan sasar yang terdiri pihak pemaju, penilai, Joint Management Body (JMB), Jurukur Tanah Berlesen, Arketik, Syarikat Guaman serta agensi dan jabatan kerajaan.
“Ia mengenai intipati Akta Hakmilik Strata, Pengurusan Bangunan dan lain lain pekeliling atau garis panduan srata yang berkuatkuasa dalam usaha memandu arah kumpulan berkenaan mengenai pelaksanaan prosedur kerja srata yang betul selaras dengan pewartaan Kaedah Kaedah Hakmilik Strata (Labuan) pertama yang berkuasa mula pada Januari 2020 yang lalu” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada itu katanya, seminar tersebut menampilkan barisan penceramah yang bertauliah dan berpengalaman luas dalam ilmu teknikal dan pengurusan strata.
Jelasnya lagi, jabatan berharap penganjuran seminar itu akan menjadi penanda aras bagi meneruskan momentum pemerluasan ilmu dan teknologi terkini berkaitan aktiviti strata pada masa akan datang.
Yang hadir menyampaikan ceramah pada seminar itu ialah Ketua Penolong Pengarah Ukur, Seksyen Perundangan Kadaster JUPEM, Sr Kamarol Azmi Adzhan, Ketua Penolong Pengarah (Pendaftaran) Pejabat Pengarah Tanah Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTGWPKL), Abbil Ajes Mohammad Hanif serta Pesuruhjaya Bangunan DBKL, Sr Che Adzhan Che Adnan dan Muhammad Hafizi Rosli.