SIMBOLIK…. Radzaleih menyerahkan bantuan skim musibah secara simbolik kepada Puan Ranizah Ratmin mewakili suaminya Sabaruddin Nonong di Kampung Layang-Layang.
LABUAN: Seramai 12 keluarga yang ditimpa musibah sepanjang bulan Jun lalu menerima bantuan musibah sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan bernilai keseluruhan RM8,800.00.
Timbalan Pengurus MAIWP Labuan, Mohd Radzaleih Matusin berkata, bantuan tersebut bertujuan untuk meringankan beban ahli keluarga yang terkesan selepas ditimpa musibah banjir, tanah runtuh dan atap rumah rosak akibat angin ribut yang berlaku sepanjang bulan Jun yang baru lalu.
“ Seramai 12 keluarga dari Kampung Lubok Temiang, Kilan, Gersik, Lajau, Patau-Patau Satu Rancha-Tancha Sungai Bedaun dan Sungai Lada yang ditimpa musibah telah menerima bantuan wang zakat MAIWP berjumlah keseluruhan RM8,800.00” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan bantuan musibah banjir kepada Sabaruddin Nonong di Kampung Layang-Layang, pada Khamis.
Pada sesi yang lain, Radzaleih turut menyampaikan bantuan kerusi roda dan tilam berinilai TM847.00 kepada warga emas Maisara Saidil, 64 dari kampung Sungai Lada yang sakit terlantar sejak April lalu.
Menurut Radzaleih, MAIWP sentiasa mengalu-alukan pemimpin masyarakat untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat penduduk kampung yang ditimpa musibah bencana seperti rumah terbakar, rumah runtuh, banjir mahupun rumah rosak akibat angin kencang atau sebagainya.
“MAIWP sentiasa mengalu-alukan pemimpin masyarakat dan orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu pihak MAIWP menyegerakan bantuan musibah dalam tempoh 48 jam selepas maklumat diterima”katanya. http://Borneo Daily Bulletin