Salah seorang prospek lelaki yang dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani “Kepulangan Yang Dinanti” bersama keluarga dan majikan menerima sijil dan cendermahati disampaikam James
KOTA KINABALU: Program Outreach dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani yang bertemakan “Kepulangan Yang Dinanti” sempena sambutan Tahun Baru Cina 2025 mencerminkan komitmen kerajaan untuk mendukung nilai ihsan dan kemanusiaan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, ia adalah selaras dengan prinsip Madani dalam memacu masyarakat yang harmoni dan inklusif.
“Program Outreach dan Program PBSL ini adalah Program Tahunan Jabatan Penjara Malaysia sebagai usaha kerajaan dalam memberi peluang kepada prospek untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Dalam erti kata lain, Program ini adalah juga bertujuan untuk memberikan keistimewaan kepada banduan atas alasan merapatkan hubungan kekeluargaan, mencari peluang pekerjaan, perancangan masa hadapan dan lain-lain perkara yang difikirkan wajar oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.
“Saya difahamkan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia bahawa Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani “Kepulangan Yang Dinanti” pada hari ini melibatkan pelepasan banduan seluruh institusi Jabatan Penjara di Malaysia,” katanya.
Bagi Zon Negeri Sabah dan W.P Labuan, Pelepasan Prospek melibatkan seramai 115 prospek di Seluruh Sabah, di mana mereka adalah antara prospek yang telah menjalani sekurang-kurangnya 1/3 daripada tempoh hukuman di dalam fasiliti serta telah menjalani program pemulihan dalam tempoh tersebut untuk mengikuti Pemulihan Dalam Komuniti sehingga selesai baki hukumannya di luar fasiliti.
James berkata, “semoga Sempena Perayaan Tahun Baru Cina ini, kita dapat bersama-sama meraihkannya dengan penuh rasa kegembiraan, kasih sayang dan harapan baru dan ianya sangat relevan dengan objektif program pada pagi ini.
“Pelepasan Ihsan Madani “Kepulangan Yang Dinanti” memberi peluang dan ruang kepada mereka kembali ke pangkuan keluarga dan komuniti, membawa harapan dan semangat baru untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Saya bersama pegawai-pegawai di kementerian Pembangunan Masyarakat dan kesejahteraan Rakyat komited menyokong usaha Jabatan Penjara Malaysia dalam Program Pemulihan Komuniti terhadap prospek melalui pelbagai inisiatif seperti latihan teknikal dan vokasional, keusahawanan, serta kursus digital dan perkhidmatan hospitality,” katanya.
Menurutnya, kerjasama erat dengan GiatMARA, HRD Corp, Persatuan Hotel Sabah, dan NGO teknologi akan memastikan prospek dibekalkan dengan kemahiran yang relevan.
“Selain itu, kami juga akan bekerjasama dengan majikan tempatan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada prospek agar mereka dapat menjadi anggota masyarakat yang produktif.
“Bagi menghapuskan stigma, kita akan terus memperkasa pendidikan kesedaran terhadap masyarakat supaya prospek diterima dengan tangan terbuka.
“Kami juga akan menggalakkan kerjasama dengan NGO dan badan korporat melalui program tanggungjawab sosial (CSR) untuk menawarkan peluang latihan dan pekerjaan,” katanya.
Kepada para prospek, James mengatakan bahawa masa depan mereka cerah jika mereka berani untuk berubah.
“Setiap langkah kecil yang anda ambil adalah tanda bahawa anda bertekad untuk menjadi individu yang lebih baik.
“Kepada Jabatan Penjara Malaysia, saya memberi sokongan penuh kepada usaha murni ini dan bersedia membantu dalam apa jua keperluan, termasuk memperkukuhkan program pemulihan dan intervensi melalui peruntukan tambahan jika diperlukan.
“Marilah kita bersama-sama memastikan bahawa negeri Sabah terus menjadi negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, peluang kedua, dan perpaduan masyarakat. Ingatlah, setiap individu, walaupun pernah tersasar, memiliki potensi untuk Berjaya,” katanya.
James yang juga ADUN Sugut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai penjara dan kakitangan yang terlibat dalam Program PBSL.
“Tugas anda sangat penting dalam memberi peluang kedua kepada prospek untuk kembali ke masyarakat. Saya faham cabaran yang dihadapi, terutama apabila ada prospek yang gagal menamatkan perintah, namun kegagalan kecil tidak seharusnya menghentikan usaha kita yang lebih besar.
“Kini, Jabatan Penjara Malaysia bukan hanya tempat hukuman, tetapi merupakan Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan (CHCDC), yang menjadikan Jabatan Penjara Malaysia sebagai Peneraju Perkhidmatan Korektif.
“Sekali lagi kepada semua pegawai penjara, saya ucapkan terima kasih atas dedikasi anda. Teruskan usaha anda, kerana tugas ini amat mulia dan memberi impak besar dalam pembangunan masyarakat. Kita berkongsi matlamat yang sama: untuk melihat prospek ini kembali menjadi individu yang berguna,” katanya.
Beliau turut memberikan setinggi penghargaan kepada semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang sentiasa membantu dan menyokong usaha Jabatan Penjara Malaysia terutamanya dari segi penyediaan peluang pekerjaan.
“Semoga kerjasama ini akan berterusan demi kesejahteraan rakyat negeri Sabah. Terima kasih saya ucapkan kepada wakil-wakil majikan dan pemain-pemain industri di negeri Sabah kerana memberi peluang kedua kepada prospek untuk bekerja.
“Semoga dengan usaha ini, prospek dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dengan sumber pendapatan yang tetap dan tidak lagi mengulangi kesalahan yang lama,” katanya.
Akhir kata, James mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Penjara Malaysia terutamanya Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sabah dan W.P Labuan dan semua yang terlibat menjayakan program tersebut.
“Kepada mereka yang akan kembali ke pangkuan keluarga, manfaatkanlah peluang ini sebaiknya. Ingatlah, setiap langkah ke arah kebaikan adalah langkah yang diberkati.
“Semoga program ini akan menjadi pencetus kepada perubahan yang positif dalam kehidupan semua pihak yang terlibat,” jelas beliau.