GRED A… Pengusaha premis makanan yang menerima plak Gred A bersama Rithuan (tiga dari kanan).
LABUAN: Sebanyak 109 premis restoran dan kedai kopi menerima penilaian Gred A oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Perbadanan Labuan.
Penilaian Gred A itu adalah hasil dari pemeriksaan 186 premis restoran termasuk kedai kopi yang telah dinilai tahap kebersihannya oleh Unit Kesihatan Perbadanan Labuan sepanjang tahun 2023.
Majlis penyampaian plak penilaian Gred A itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail pada Majlis Anugerah Kebersihan Premis Makanan 2023 di Menara Perbadanan Labuan, pada Sabtu.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Rithuan menzahirkan rasa puas hati kerana pengusaha dan peniaga premis restoran dan kedai kopi sebtiasa komited dalam menjaga dan menitik beratkan kebersihan premis makanan masing-masing.
Katanya, jumlah premis yang memperolehi Gred A pada tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 58.6 peratus berbanding pada tahun 2022 sebanyak 14.7 peratus.
Manakala jumlah premis yang mendapat Gred B adalah sebanyak 77 buah berbading pada tahun 2022 sebanyak 87 premis menyaksikan penurunan sebanyak 6.9 peratus.
“Sebahagian besar penurunan jumlah premis yang mendapat Gred B adalah disebabkan usaha dan komitmen premis yang bersungguh sungguh untuk meningkatkan tahap kebersihan premis sehingga mendapat Gred A” katanya.
Beliau turut menjelaskan bermula tahun 2024, Perbadanan Labuan telah membuat ketetapan setiap tandas di premis restoran dan kedai kopi perlu mencapai taraf 2 bintang ke atas sebelum lesen perniagaan mereka di perbaharui.
“Peraturan ini digubal tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan keselesaan pelanggan, pengunjung dan pelancong serta untuk mewujudkan satu suasana yang bersih dan sihat di Wilayah Persekutuan Labuan” katanya.