RITHUAN (tengah) bersama peserta Program Peningkatan Dan Lonjakan Peserta PUJI.
Labuan:Seramai 100 peserta yang menyertai Program Usaha Jaya Insan (PUJI) telah berjaya melepasi sasaran sembilan bulan lebih awal keluar dari garis kemiskinan tegar kepada usahawan berjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, malah 75 peratus daripada peserta telah berjaya menambah dan menjana pendapatan baharu sekaligus mampu berdikari untuk membina keluarga yang lebih selesa.
“Daripada jumlah tersebut 30 peratus mampu mencapai pendapatan sehingga RM5,000 sebulan dan berpotensi untuk menjadi pemain industri makanan terutama hasil laut di Labuan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Peningkatan Dan Lonjakan Peserta Upaya@PUJI yang dianjurkan oleh IGROW di sini, pada Jumaat.
Rithuan berkata, Program Usaha Jaya Insan diperkenalkan pada awal tahun ini sebagai inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Perbadanan Labuan dengan kerjasama IGROW dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) bagi menangani golongan miskin tegar di pulau ini.
Dalam pada itu beliau turut memuji program tersebut yang telah membawa pendekatan yang lebih baik dan berstruktur, selain lebih dinamik sebagai peneraju pembangunan golongan miskin tegar.
PRODUK…..Rithuan bersama Nordin ketika meninjau produk yang fihasilkan oleh peserta PUJI.
“Saya juga difahamkan IGROW sudah mengenal pasti sebuah premis yang lengkap dengan warehouse sebagai pusat perusahan, pembangunan, pengumpulan dan jualan bersepadu untuk peserta PUJI mengendalikan proses penghasilan dan pemasaran produk yang lebih cepat, berkualiti dan menepati syarat persijilan berkaitan produk yang dihasilkan” katanya.
Sementara itu, Perbadanan Labuan akan terus memberikan sokongan serta mempermudahkan proses berkaitan perlesenan seperti penukaran status gerai dan penempatan gerai yang mematuhi syarat syarat ditetapkan.
Selain itu, Perbadanan Labuan juga akan membiayai dan menguruskan tiga peserta PUJI untuk menyertai MAHA 24 di MAEPS Serdang Selangor pada 11-22 September depan.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif I-GROW, Nordin Abdul Malik.