Datuk James (kanan) bersalaman dengan Datuk Dr.Dzulkefly, Menteri Kesihatan Malaysia, sempena Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 yang diadakan di Padang Bandaran Tawau, Sabtu.
TAWAU: Menerusi inisiatif menaik taraf klinik daif di Sabah, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) menyasar sekitar 100 buah klinik kesihatan bakal dinaik taraf dalam tempoh dua tahun ini.
Menteri KPMKR, Datuk James Ratib berkata, rekod Jabatan Kesihatan Sabah menunjukkan status Klinik Kesihatan di Sabah terdiri daripada bangunan jenis kayu sebanyak 70 buah, manakala klinik kategori daif adalah sebanyak 125 buah.
Selari dengan inisiatif itu, beliau berharap KKM dapat menaiktaraf semua klinik-klinik kesihatan di Sabah, terutama kawasan pedalaman yang uzur dan masih jenis klinik kayu supaya gantikan kepada bangunan konkrit.
“Kita juga berharap dapat melihat penaiktarafan Hopsital Tawau dan Sandakan kepada Hospital bertaraf Negeri, demi meningkatan fasiliti dan perkhidmatan, agar pesakit-pesakit dari Tawau dan Sandakan, tidak perlu lagi ke Kota Kinabalu.
“Kerana apabila dinaiktaraf, Hospital Tawau dan Sandakan akan ada fasiliti yang lebih baik atau lengkap dan ramai doktor-doktor pakar ditempatkan di hospital berkenaan,” katanya.
Di samping itu, James juga berharap agarpengurusan ILKKM Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu perlu dikembalikan kepada JKNS Negeri Sabah.
“Untuk rekod, ILKKM pernah dibawah pengurusan JKNS pada 2016-2018 namun ditarik balik oleh KKM. KKM menjelaskan tiada keperluan untuk diletakkan pengusrusan ini kepada JKNS.
“Selain itu, naik taraf fasiliti serta kemudahan di semua ILKKM di Sabah khususnya asrama pelatih atau pelajar,” katanya.
Beliau yang juga EXCO Kesihatan Negeri Sabah turut berharap agar lebih ramai doktor dapat berkhidmat di Negeri Sabah memandangkan pebezaan ketara purata perkhidmatan doktor yang merawat pesakit di Sabah berbanding di Smenenanjung.
“Di Semenanjung Malaysia, purata perkhidmatan doktor yang merawat pesakit adalah pada nisbah 1/400 pesakit, manakala di Sabah tedapat Hopsital dan Klinik Kesihatan, di mana puratanya ialah 1/9,000 pesakit.
“Isi juga jawatan kosong jururawat yang masih kosong di Sabah yang mana kini mempunyai sebanyak lebih kurang 900 kekosongan.
“Jika ini dilaksanakan, maka tidak lagi berlaku pertukaran kakitangan atau Jururawat dari Sabah ke Semananjung atau Sarawak, sekaligus mampu mengatasi Jururawat Terlatih yang masih menganggur di negeri Sabah,” kata beliau.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian sempena Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 yang diadakan di Padang Bandaran Tawau, Sabtu.
Jelajah ANMS-SMJ yang dilaksanakan sejak tahun 2022 merupakan perkongsian pintar antara Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri dalam mempromosikan kesejahteraan kesihatan dalam kalangan rakyat Sabah.
Objektif ANMS adalah seiring dengan hala tuju SMJ yang bukan hanya memfokuskan kepada pembangunan ekonomi tetapi juga kepada modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Untuk mencapai objektif ini, kita memerlukan rakyat yang sihat bukan sahaja dari aspek fizikal malah mempunyai kesejahteraan mental.
“Program Madani Afiat juga merupakan salah satu agenda penting oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dan ianya jelas menyokong Tonggak Kedua Malaysia MADANI.
“Gabungan konsep Program Madani Afiat dan Jelajah ANMS-SMJ adalah bertepatan kerana ianya menekankan budaya hidup sihat melalui pemerkasaan rakyat bagi meningkatkan kesihatan kendiri menerusi kerjasama pelbagai rakan strategik ke arah mencapai kesejahteraan kesihatan fizikal dan mental,” ujar James.
James merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Induk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana dari Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau kerana berjaya menganjurkan Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat – Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran Menteri Kesihatan ke Negeri Sabah Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad, untuk merasmikan majlis tersebut.
“Sesungguhnya keberadaan semua pihak pada hari ini menunjukkan komitmen dan sokongan padu kepada Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat – Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ),” katanya.
Tambah James, sengan konsep ‘whole of government, whole of society’, penjagaan kesihatan tidak terbeban oleh KKM sahaja kerana semua pihak mempunyai tanggungjawab dan perlu memainkan peranan masing-masing demi mewujudkan rakyat yang sihat.
“Melalui sesi libat urus bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jawatankuasa Kerja ANMS-SMJ Peringkat Negeri Sabah telah berjaya dibentuk pada 13 Februari 2024.
“Jawatankuasa ini dianggotai oleh semua kementerian di bawah Kerajaan Negeri Sabah dan ‘Focal Point’ bagi setiap Kementerian juga telah bermesyuarat untuk merancang dan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti di bawah inisiatif ANMS-SMJ bagi tempoh 10 tahun sehingga tahun 2030.
“Justeru, Program Madani Afiat dan Jelajah ANMS-SMJ yang diadakan pada hari ini sungguh penting dan sangat bermakna kepada kita semua kerana ianya merupakan platform terbaik di samping membuka peluang bagi penglibatan menyeluruh semua pihak,” katanya.
Tambah James, libat urus dan kerjasama strategik hendaklah diperkukuh melalui penglibatan aktif daripada pelbagai agensi termasuklah pihak swasta dan NGO.
Antara pengisian program tersebut adalah aktiviti berjalan 10,000 langkah, perkhidmatan ‘Wellness on Wheels’, Tanya Pakar, saringan kesihatan, perkhidmatan kesihatan interaktif, cabaran kecergasan, pertandingan lompat tali dan aktiviti jualan usahawan.