Gambar atas: SERAH…. Bashir menyerahkan bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada asnaf pada majlis Iftar MAIWP
LABUAN: Seramai 100 asnaf dari Kampung Batu Manikar dan Kampung Pohon Batu di sini diraikan dalam Majlis Iftar dan Penyampaian SumbanganKepada Asnaf yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Labuan pada Selasa.
Majlis yang diadakan di perkarangan Masjid Al Munawar Kampung Pohon Batu itu di sempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias.
Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md. Fadzli Md Saad, Ketua Kampung Pohon Batu, Hariadi Omar dan Ketua Kampung Batu Manikar Haji Ismail Abdul Rahman.
Selain diraikan dalam majlis berbuka puasa, mereka (asnaf) turut menerima bantuan hari raya berupa wang tunai RM100 dan juga barangan keperluan dapur bagi membantu asnaf membuat persiapan menyambut Ramadan.

SIMBOLIK….Bashir menyerahkan replika cek bernilai RM3.2 juta bantuan keseluruhan MAIWP kepada 4,000 asnaf di pulau ini.
Terdahulu Bashir ketika berucap pada majlis itu berkata, MAIWP telah menyediakan bantuan Aidilfitri sebanyak RM800 seorang kepada 4,000 asnaf di pulau ini membabitkan agihan wang zakat sebanyak RM3.2 juta.
Katanya, penganjuran majlis itu membuktikan MAIWP sentiasa mengikuti perkembangan arus perubahan semasa dalam mempelbagaikan bantuan dan berusaha meningkatkan kemajuan sosioekonomi, bagi memastikan kesejahteraan umat Islam melalui sistem pengurusan dan pembangunan yang berlandaskan hokum syarak dengan menggunakan sumber MAIWP.
“MAIWP sentiasa berusaha melakukan transformasi dengan menambahbaik pengurusan pengagihan zakat bagi memastikan ianya tetap kekal relevan dengan peredaran semasa. Ia termasuk mengkaji semula dasar dan SOP skim-skim bantuan, penetapan had kifayah dan sebagainya, agar bersesuaian untuk digunapakai mengikut keadaan semasa” katanya.



