PESERTA … Usahawan Digital Pasca COVID 19 bersama sijil masing-masing
LABUAN : Seramai 10 usahawan Digital Pasca Covid 19 Wilayah Persekutuan Labuan yang telah mengikuti Kursus Pembangunan Usahawan Digital menerima sijil daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sempena Majlis Sesi Townhall Perbadanan Labuan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan pada Sabtu.
Program Usahawan Digital Pasca Covid 19 adalah salah satu inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Cakna Usahawan untuk membantu rakyat setempat mempelajari dan memperkembangkan pamasaran produk melalui perniagaan atas talian.
Pada masa yang sama program tersebut adalah salah satu strategi untuk pemulihan ekonomi Labuan dan selari dengan konsep Cakna Keusahawan.
Terdahulu Annuar ketika berucap pada majlis Sesi Townhall berkata, Cakna Usahawan merupakan antara 13 bidang kecaknaan sebagai teras penjenamaan Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin.
Katanya, 13 bidang kecaknaan yang telah dikenalpasti itu ialah Cakna Perumahan, Gelandangan, Kemiskinan, Keselamatan, Perpaduan, Keindahan, Kebersihan, Sukan, Asnaf, Usahawan, Kehijauan, Pendidikan dan Cakna Seni Budaya.
“ Kesemua cakna tersebut akan menjadi payung kepada perancangan dan pengurusan setiap program, produk ataupun perkhidmatan dan dasar baharu mahupun yang sedia ada untuk dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) serta seluruh agensi mengikut kumpulan sasar tertentu” katanya.
Dalam pada itu, Annuar yakin Cakna Keusahawanan akan dapat membantu meningkatkan sosio ekonomi warga Labuan melalui bantuan dan penganjuran program peningkatan pemasaran produk.
Menyentuh mengenai konsep Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin, Annuar menjelaskan ia diperkenalkan untuk menjadikan Perbadanan Labuan sentiasa memberi keutamaan menyelesaikan masalah rakyat, fokus pembangunan dan pembelaan ekonomi, penjagaan alam sekitar dan keindahan pulau WP Labuan.
Pada majlis itu beliau turut melancarkan ‘Pasukan Prihatin PL’ yang bertugas menangani pelbagai aduan awam di samping mengendali situasi kecemasan tanpa mengira waktu termasuk pelaksanaan tugasan rasmi.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Dato’ Rosida Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman serta kira-kira 300 kakitangan Perbadanan Labuan.