Rithuan (tiga dari kiri) bersama Abdul Rahman (dua dsri kiri) melancarkan secara simbolik SURI di Kampung Patau Patau Satu, pada Rabu.
LABUAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan telah mewujudkan ‘ Fire Point’ yang pertama di perkampungan air Patau Patau Satu.
Pengarah JBPM Labuan, Abdul Rahman Ali berkata tapak Fire Point itu yang di wujudkan itu merupakan langkah kesiapsiagaan tinggi terhadap risiko kebakaran dan kecemasan di kampung Patau Patau Satu.
Jelas beliau, tapak “Fire Point” itu merujuk kepada lokasi strategik penempatan peralatan kebombaan atau pasukan tindak balas awal bagi mempercepat bantuan ketika kecemasan.
Katanya, tapak itu adalah pertama dibina di pulau ini khususnya yang melibatkan perkampungan air dan kemudahan itu turut dirangka untuk diwujudkan di Kampung Bebuloh Laut dan Kampung Patau-Patau Dua.
“Ia lebih kepada kegunaan penduduk kampung untuk menguruskan insiden-insiden yang kemungkinan berlaku.Peralatan yang disediakan itu akan ditambah dari semasa ke semasa, termasuk fire blanket dan kelengkapan lain.
“Namun, semua ini merupakan tindakan awal bagi membantu mencegah kebakaran daripada menjadi lebih besar”, katanya ketika ditemui pemberita pada program Sedia Urus Resiko Isi Rumah (SURI) JBPM Labuan di Kampung Patau Patau Satu, pada Rabu.
Program tersebut telah dilancarkan perasmiannya oleh Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Rithuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) ketika bercakap kepada pemberita menyambut baik usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak JBPM Labuan.
Katanya, JPBD Labuan akan terus memberikan komitmen sepenuhnya bersama dengan agensi-agensi yang di bawah JDBP disamping merangka pelbagai pelan tindakan membabitkan kawasan komuniti yang berisiko tinggi terhadap kebakaran dan keselamatan.
Sekiranya terdapat sebarang risiko, JPBD telah pun mempunyai pelan tindakan untuk bekerjasama bagi memastikan sesuatu bencana dapat ditangani sebaik mungkin. Perkara ini perlu kita pastikan dan beri keutamaan”, katanya.
Dalam pada itu, Program SURI merupakan program kesedaran keselamatan kebakaran yang memberi fokus kepada isi rumah, khususnya suri rumah dan komuniti setempat.
Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi risiko kebakaran di rumah.
Ia juga memberi latihan asas kepada peserta supaya dapat mengambil tindakan awal sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat.



