ADVERTISEMENTspot_img

𝐏𝐫𝐨𝐣𝐞𝐤 𝐓𝐫𝐚𝐧𝐬𝐟𝐨𝐫𝐦𝐚𝐬𝐢 𝐊𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐠 𝐆𝐞𝐫𝐬𝐢𝐤/𝐒𝐚𝐠𝐮𝐤𝐢𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐬𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭 𝐛𝐚𝐢𝐤 𝐩𝐞𝐧𝐝𝐮𝐝𝐮𝐤 𝐤𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐠

Dr. Geoffrey (lima kiri), Dr. Wong (empat kiri), Mohd Rafil (enam kiri) dan Dr. Nazarina (tengah) pada sesi bergambar sempena Majlis Perasmian Projek SULAM Transformasi Kampung Gersik/Saguking.

𝐋𝐀𝐁𝐔𝐀𝐍: 𝐏𝐫𝐨𝐣𝐞𝐤 𝐓𝐫𝐚𝐧𝐬𝐟𝐨𝐫𝐦𝐚𝐬𝐢 𝐊𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐠 𝐆𝐞𝐫𝐬𝐢𝐤/𝐒𝐚𝐠𝐮𝐤𝐢𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐢𝐧𝐢𝐬𝐢𝐚𝐭𝐢𝐟 𝐒𝐞𝐫𝐯𝐢𝐜𝐞 𝐋𝐞𝐚𝐫𝐧𝐢𝐧𝐠 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚- 𝐔𝐧𝐢𝐯𝐞𝐫𝐬𝐢𝐭𝐲 𝐅𝐨𝐫 𝐒𝐨𝐜𝐢𝐞𝐭𝐲 (𝐒𝐔𝐋𝐀𝐌) 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐥𝐚𝐤𝐬𝐚𝐧𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐩𝐞𝐥𝐚𝐣𝐚𝐫 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦 𝐏𝐞𝐦𝐚𝐬𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐀𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚, 𝐅𝐚𝐤𝐮𝐥𝐭𝐢 𝐊𝐞𝐰𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐀𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚 𝐋𝐚𝐛𝐮𝐚𝐧 (𝐅𝐊𝐀𝐋), 𝐔𝐧𝐢𝐯𝐞𝐫𝐬𝐢𝐭𝐢 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐊𝐚𝐦𝐩𝐮𝐬 𝐀𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚 𝐋𝐚𝐛𝐮𝐚𝐧 (𝐔𝐌𝐊𝐀𝐋) 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐬𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐢𝐤 𝐝𝐚𝐫𝐢𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐩𝐞𝐧𝐝𝐮𝐝𝐮𝐤 𝐤𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐠 𝐬𝐞𝐡𝐢𝐧𝐠𝐠𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐣𝐚𝐲𝐚 𝐝𝐢𝐥𝐚𝐤𝐬𝐚𝐧𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐩𝐞𝐧𝐮𝐡𝐧𝐲𝐚.

Majlis perasmian program tersebut telah dirasmikan oleh Dekan FKAL, Prof. Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, baru baru ini.

Turut hadir, Ketua Program Pemasaran Antarabangsa, Dr Wong Ling Chai, Ketua Kampung Gersik/Saguking, Mohd Rafil Othman dan Penyelaras Projek SULAM Transformasi Kampung Gersik/Saguking dan Pensyarah Kursus GT10803 Etika Perniagaan, Dr. Nazarina Jamil.

Hadir sama mantan Ketua Kampung Gersik/Saguking, Osman Kadir dan Ahli Jawatankuasa JKKP Kampung.

Projek transformasi kampung ini memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti setempat serta pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar bagi pelajar kursus GT10803 Etika Perniagaan di bawah seliaan Dr Nazarina Jamil.

Antara aktiviti utama yang dilaksanakan termasuk penambahbaikan gelanggang bola tampar kampung melalui kerja-kerja mengecat dan penyediaan tiang baharu, di samping usaha mempromosikan kemahiran kuih tempatan seperti pembuatan kuih rempeyek sebagai produk berpotensi kampung.

Selain itu, satu laman web rasmi Kampung Gersik Saguking turut dibangunkan sebagai medium promosi dan penyebaran maklumat kepada masyarakat umum.

Walaupun pelaksanaan projek dilaksanakan secara berperingkat, komitmen tinggi pelajar berjaya memastikan objektif projek dicapai serta memberi impak positif kepada komuniti setempat.

Terdahulu Dr. Geoffrey ketika berucap berkata projek ini disifatkan sebagai satu kejayaan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti kampung, malah membentuk pelajar yang beretika, kreatif dan berfikiran kritis.

Katanya, pengisytiharan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Malaysia membuka peluang untuk memperkenalkan Kampung Gersik/Saguking kepada masyarakat umum sebagai destinasi berpotensi, khususnya melalui keunikan kemahiran tempatan seperti pembuatan kuih rempeyek yang boleh dipromosikan menerusi laman web rasmi kampung.

Sementara itu, Mohd Rafil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak universiti, pelajar serta Ahli Jawatankuasa Kampung atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek.

Beliau berharap agar jalinan kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan penduduk setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN