Mangsa warga Arab Saudi di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
LABUAN: Zon Maritim Labuan (Maritim Malaysia) melaksanakan opreasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) untuk membawa keluar seorang kru kapal kargo yang mengalami kecederaan di perairan Labuan, pada pagi Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Hj. Idros berkata, Pusat Operasi Zon Maritim (PUSOP) Labuan menerima panggilan pada pukul 2.15 pagi mengenai seorang kru kapal kargo yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan akibat kebakaran elektrik.
Berikutan laporan itu, pihaknya telah menggerakan Bot PETIR 90 untuk ke lokasi kapal kargo berkenaan yang berada kira-kira 2.6 batu nautika di tenggara Pulau Papan.
“Mangsa seorang lelaki warga Arab Saudi telah berjaya dikeluarkan dan seterusnya di bawa ke jeti Zon Maritim Labuan sebelum dihantar ke hospital Labuan bagi mendapatkan rawatan lanjut” , katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga memberikan bantuan kecemasan dan kemanusiaan kepada komuniti maritim di perairan negara.



