ZARYSSA… dipilih sebagai kapten pasukan ragbi B20 Kebangsaan di Kejohanan Ragbi Wanita B20 di Kathmandu 17-24 Ogos ini.
LABUAN: Pemain hadalan ragbi dari Wilayah Persekutuan Labuan, Zaryssa Awang Daniel bakal diberi tanggungjawab mengalas cabaran skuad Ragbi Kebangsaan apabila beliau dipilih sebagai kapten pasukan itu di Kejohanan Ragbi Wanita B 20 di Kathmandu India pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Beliau yang merupakan anak jati Labuan menzahirkan rasa teruja bukan sahaja diberi tanggungjawab sebagai kapten pasukan, malah sebahagian besar pemain yang bakal mewakili negara dikejohanan itu merupakan atlit Ragbi dari Labuan yang telahpun sebati dengan cara mereka bermain dan berlatih.
Sementara itu, Presiden Ragbi Labuan (LRA), Rashid Adlie berkata, pihaknya diberi kepercayaan untuk menyenaraikan pemain bagi kejohanan itu.
Beliau menjelaskan 15 pemain yang terpilih untuk mewakili skuad Ragbi negara di Kathmandu nanti, 10 daripadanya merupakan pemain ragbi Labuan, dua masing-masing daripada Terangganu dan Sarawak dan seorang dari Selangor.
Rashid yakin, pasukan yang dibentuk ini telah menyasarkan untuk mendominasi kejohanan berdasarkan kepada pengalaman pemain yang telah beraksi di beberapa siri kejohanan selain memilik keazaman yang tinggi untuk merangkul kejuaraan.
“ Kita yakin pasukan ragbi kebangsaan akan menampilkan kemahiran dan semangat kesukanan yang tinggi dalam menentang lawan yang lebih kuat daripada Asia” katanya ketika ditemui di padang Dataran Labuan baru-baru ini.
Rashid yang turut dilantik sebagai Pengurus pasukan Ragbi Wanita B20 Kebangsaan berkata proses pemilihan pemain yang dikendalikan oleh jurulatih Wan Ibrahim Wan Chik dijalankan dengan lebih ketat bagi memastikan atlit yang bakal mewakili negara bukan sahaja yang terbaik tetapi mempunyai semangat dan jiwa yang besar untuk bersaing sebagai satu pasukan yang digeruni.
Sementara, Wan Ibrahim yang turut ditemui menjelaskan pasukannya telah pun menjalani latihan empat jam sehari bermula dari jam 6 pagi hingga jam 10 pagi bagi menyesuaikan keadaan suhu yang agak sejuk di Kathmandu.
TAMAT
GAMBAR:
1.ZARYSSA… dipilih sebagai kapten pasukan ragbi B20 Kebangsaan di Kejohanan Ragbi Wanita B20 di Kathmandu 17-24 Ogos ini.
2.PASUKAN Ragbi Wanita B20 Kebangsaan bersama Rashid (berdiri belakang lima dari kiri) dan Wan Ibrahim (berdiri belakang empat dari kiri)



