ADVERTISEMENTspot_img

Keluarga Mendiang Koperal Tingadon Puji Usaha PDRM Sabah Wujudkan Galeri Polis

Keluarga mendiang Koperal Tingadon Pantayon merakamkan gambar kenangan di hadapan Galeri Polis Kontinjen Sabah.

KOTA KINABALU: Keluarga mendiang Koperal Tingadon Pantayon memuji usaha Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah mewujudkan Galeri Polis Sabah yang menghimpunkan pelbagai artifak, bahan sejarah serta maklumat berkaitan perkembangan dan pencapaian pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan dan keselamatan negeri Sabah.

Ketua Daerah Keningau, OKK Alexsius Tingadon, berkata kewujudan galeri berkenaan bukan sahaja menjadi sumber rujukan kepada generasi baharu, malah mampu menyemai jati diri masyarakat untuk terus menghargai keamanan serta memahami peranan dan pengorbanan pasukan keselamatan.

“Sebagai anak bekas anggota polis, saya amat berbangga dengan usaha PDRM Sabah mewujudkan galeri ini kerana pelbagai pencapaian pasukan serta sejarah perjuangan pegawai dan anggota polis dipamerkan untuk tatapan masyarakat.

“Ia memberikan suntikan motivasi kepada semua pihak untuk lebih menghargai usaha dan pengorbanan pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam,” katanya selepas mengadakan lawatan ke galeri berkenaan pada Ahad.

Seorang lagi anak mendiang, Parigu Tingadon, yang juga pesara guru, berkata Galeri Polis Sabah merupakan sebuah gedung ilmu yang mengetengahkan pelbagai kisah sejarah serta usaha gigih pasukan polis dalam menjaga keselamatan masyarakat di negeri ini.

Katanya, bahan pameran yang terdapat di galeri berkenaan amat menarik dan wajar dikunjungi lebih ramai masyarakat, khususnya pelajar sekolah, bagi meningkatkan pengetahuan mengenai sejarah dan perkembangan kepolisan di Sabah.

Anak-anak mendiang Koperal Tingadon Pantayon bergambar kenangan di hadapan paparan sejarah perjuangan bapa mereka yang dipamerkan di Galeri Polis Kontinjen Sabah.

“Saya amat tertarik dengan bahan pameran yang terdapat di galeri ini. Usaha PDRM Sabah perlu disokong oleh semua pihak, khususnya pelajar sekolah, kerana ia dapat memberikan pendedahan mengenai sejarah dan perjuangan pasukan polis, selain menyuntik minat generasi muda untuk menceburi kerjaya dalam bidang kepolisan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, cucu mendiang, Jelika Ribus, berkata kewujudan Galeri Polis Sabah memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih dekat sejarah dan peranan PDRM dalam menjaga keselamatan negeri dan negara, selain mengetahui struktur organisasi serta fungsi unit-unit yang terdapat dalam pasukan berkenaan.

“Saya dapat memahami dengan lebih jelas betapa pentingnya peranan PDRM dalam menjaga keselamatan masyarakat, termasuk fungsi unit-unit tertentu yang terdapat dalam pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga mendiang Koperal Tingadon turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada PDRM Sabah kerana memberi ruang untuk mempamerkan beberapa bahan serta kisah perjuangan mendiang yang pernah berkhidmat dalam pasukan polis pada era North Borneo.

Menurut keluarga, paparan berkenaan amat bermakna kerana ia bukan sahaja mengabadikan sejarah perkhidmatan mendiang, malah menjadi satu bentuk penghargaan terhadap jasa anggota polis terdahulu yang telah berbakti kepada keselamatan negeri.

Galeri Polis Sabah telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, pada 25 Mac 2026 dan kemudiannya dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 17 September 2026.

Galeri berkenaan dibuka kepada pengunjung setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Lawatan secara individu atau berkumpulan perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak galeri bagi tujuan penetapan tarikh lawatan, dokumentasi dan prosedur keselamatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN