ADVERTISEMENTspot_img

Zara Qairina Sering Minta Kek Batik

Gulamhaidar (kiri) dan Mohd Arifin dan ADUN Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob (kanan) menyerahkan cek cura TPNS kepada Noraidah.


SIPITANG:   “Aduh sedihnya…,” nada suaranya bergetar, air mata mula berlinang, suasana yang awalnya tenang tiba-tiba bertukar hiba dan penuh emosi.

Ketika ditanya makanan kegemaran Allahyarham Zara Qairina Mahathir, ibunya, Noraidah Lamat, 45, tidak dapat menahan rasa sebak dan hanya selepas ditenangkan, dia memberitahu anaknya sering meminta kek batik sebulan sebelum pergi buat selamanya.

“Dalam masa sebulan ni, anak saya selalu meminta kek batik. Jadi, saya sediakan kek batik tu dalam dua tiga kontena. Satu untuk anak saya, satu untuk kawan-kawannya dan rakan-rakan sebiliknya. 

“Anak saya selalu nak makan di kedai, kalau di rumah ni dia mahu makan kek batik. Sebenarnya pada Ahad tu, anak saya sebelum ke asrama dia masak roti telur, itulah makanan terakhirnya yang dia bawa, yang dia masak di rumah saya ni. 

“Saya hairan waktu itu mahu balik asrama sudah tapi mahu lagi memasak untuk kami,” katanya menceritakan memori akhirnya bersama anak tunggal di Kampung Kalamauh yang terletak 7km dari Pekan Sipitang.

Meski hairan dengan sikap anak gadisnya yang tiba-tiba mahu pulang lewat ke asrama pada Ahad lalu, namun Noraidah sebagai pendidik di salah sebuah sekolah rendah di Sipitang tetap menasihati anaknya supaya mematuhi peraturan asrama.

“Biasa saya balik pukul 11 pagi sampai sana lebih kurang jam 1 atau 2 petang tapi hari tu dia kata nak balik lambat. 

“Mama nanti Zara balik lambat ya hari Ahad. Saya kata mana boleh begitu lambat, asrama paling lewat balik jam 3.30 petang,” kongsinya kepada media selepas Ziarah Rahmah Bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Pejabat Tugas-Tugas Khas dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar.

Mengenai idea tinggal di sekolah berasrama penuh, Noraidah berkata, itu adalah keinginan allahyarham yang menjadikan dirinya sebagai idola.

“Ini keinginan dia sendiri sebab kawan-kawan dia memang banyak sekolah berasrama penuh. Lagipun, dia teridola dengan saya dan dia selalu membayangkan keseronokan tinggal di asrama,” jelasnya kepada media 

Di akhir pertemuan, Noraidah yang telah memberikan bekerjasama sepenuhnya kepada Polis, mahu siasatan dijalankan secara telus, adil dan saksama serta tidak menyembunyikan sesuatu yang tidak benar.

Pelajar cemerlang, Allahyarham Zara Qairina dilaporkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 18 Julai lalu, selepas ditemukan cedera parah dan tidak sedarkan diri di bawah blok asrama sebuah sekolah di Papar pada jam 3 pagi 13 Julai 2025.

Insiden malang itu kemudiannya tular di media sosial dengan andaian kematian Allahyarham Zara bukanlah disebabkan terjatuh sebaliknya beliau melompat dari tingkat tiga blok asrama sekolah terbabit akibat dibuli.

Selain tindakan segera kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia, kes tersebut juga mendapat respons daripada pelbagai pihak khususnya golongan ibu bapa berkait isu buli yang seakan menjadi penyakit dalam masyarakat dan harus dibanteras ibarat peribahasa Melayu ‘sebelum kudis menjadi tokak’.
/ PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN