ADVERTISEMENTspot_img

YPNM Gesa Tindakan Tegas Tangani Isu Tambang Pengangkutan Pelancongan

David

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap isu tambang pengangkutan pelancongan yang disifatkan semakin membebankan pengguna serta berpotensi menjejaskan imej negara.

Pengerusinya, David Chan, berkata pihaknya menyambut baik pendirian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang komited dalam menangani isu caj berlebihan dan tidak munasabah dalam sektor berkenaan.

Menurut beliau, YPNM menerima peningkatan aduan daripada pengguna tempatan dan pelancong berhubung caj tidak konsisten serta melampau, khususnya melibatkan perkhidmatan pengangkutan dari lapangan terbang, pakej pelancongan dan e-hailing.

“Jika tidak ditangani segera, keadaan ini boleh menjejaskan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang adil, telus dan mesra pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata YPNM menyokong usaha KPDN untuk mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang bentuk manipulasi harga atau pencatutan.

Katanya, semua penyedia perkhidmatan perlu mematuhi prinsip harga yang adil serta memastikan maklumat caj dipaparkan secara jelas kepada pengguna sebelum perkhidmatan diberikan.

Dalam pada itu, YPNM mengemukakan beberapa cadangan termasuk pelaksanaan penguatkuasaan lebih tegas dan konsisten, paparan harga yang telus bagi semua perkhidmatan pengangkutan pelancongan, serta kerjasama erat antara KPDN, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, tindakan segera termasuk pengenaan penalti lebih berat terhadap pesalah turut dicadangkan sebagai langkah pencegahan.

YPNM turut menggalakkan pengguna dan pelancong agar lebih berwaspada serta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN sekiranya berlaku unsur penipuan atau caj tidak munasabah.

Tambah beliau, usaha memperkukuh sektor pelancongan negara perlu disokong dengan tahap ketelusan, integriti dan keadilan yang tinggi bagi memastikan keyakinan pelancong terus meningkat serta daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa kekal kukuh.

“YPNM akan terus komited memperjuangkan hak pengguna dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan pasaran yang adil dan telus untuk semua,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN