SERAH…. Siti Ayu menyerahkan secara simbolik kotak bakul makanan kepada Dr Adnan
LABUAN: PETRONAS menerusi Yayasan Petronas menyumbangkan sebanyak 200 kotak bakul makanan kepada golongan kurang bernasib baik termasuk golongan B40 dan juga kakitangan hospital Nukleus Labuan sempena sambutan Krismas
Daripada jumlah itu sebanyak 20 kotak diserahkan kepada Hospital Nukleus Labuan dan 180 kotak lagi diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan dan golongan B40 yang diserahkan oleh Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab secara berasingan yang diadakan baru baru ini.
Di hospital Nukleus Labuan bakul makanan yang berisi pelbagai biskut dan kuih itu diserahkan kepada Pengarah Hospital Nukleus Labuan, Dr Adnan Musa Balidram di perkarangan Hospital berkenaan.
.AGIH….Rithuan mengagihkan bakul makanan kepada salah seorang penerima golongan kurang berkemampuan sambil diperhatikan Siti Ayu dan Ansharey (kiri sekali)
Semantara itu 180 kotak lagi diagihkan dalam satu majlis Sentuhan Kasih sempena sambutan Krismas yang diadakan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail.
Selain mengagihkan bakul makanan, Yayasan PETRONAS turut menyumbang katil dan kerusi roda kepada JKM Labuan di bawah Program Homeward, yang bertujuan menyediakan sokongan penjagaan di rumah kepada warga emas serta orang kurang upaya dan golongan sakit kronik.
Siti Ayu berharap, sumbangan kerusi roda dan katil berkenaan dapat memberi sokongan dan meringankan beban kepada ahli keluarga penerima bantuan tersebut.
Beliau berkata, di bawah Program Sentuhan Kasih sempena Krismas, Yayasan PETRONAS pada tahun ini menyediakan sebanyak 3,500 bakul makanan untuk diagihkan di seluruh negara termasuk 1,000 di Sabah dan 200 di Labuan.
“Program Sentuhan Kasih adalah sebahagian daripada bidang tumpuan pembangunan dan kesejahteraan komuniti Yayasan PETRONAS, selaras dengan Agenda Kelestarian PETRONAS dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah JKM Labuan, Ansharey Matarsad.