30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Wujudkan musim memburu di hutan simpan – Abdul Ghani Yassin

ADUN Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin di Persidangan DUN Sabah.

KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah disaran membenarkan aktiviti memburu di kawasan hutan simpan di negeri ini dengan menetapkan musim memburu untuk penduduk setempat melakukan aktiviti itu secara sah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, berkata cadangan itu mengambil kira kegiatan memburu sebagai aktiviti turun-temurun penduduk luar bandar seperti di Nabawan.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan boleh mengambil contoh penetapan musim memburu yang dilaksanakan di beberapa negara luar seperti di Amerika Syarikat.

“Saya memohon kepada Jabatan Perhutanan kerana aktiviti memburu ini dilakukan secara turun-temurun sebagai sumber pendapatan masyarakat kita.

“Jadi saya mencadangkan agar diadakan musim memburu seperti dibuat di luar negara, contohnya di Amerika Syarikat. Kita mintalah untuk Jabatan Perhutanan memberikan pertimbangan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu disuarakannya berikutan permintaan rakyat di kawasannya yang meminta agar dibenarkan masuk dan memburu di kawasan hutan simpan.

“Rakyat sering bertanya mahu masuk hutan simpan untuk memburu tetapi undang-undang tidak membenarkannya dan jika masuk juga dianggap menceroboh,” katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) turut meminta penjelasan mengenai status kampung yang masih berada dalam kawasan hutan simpan.

Beliau bertanya sama ada kampung yang masih berada dalam kawasan hutan simpan ketika ini akan dikeluarkan atau sebaliknya.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) menjelaskan status geran komunal yang pernah diwujudkan sebelum ini, khususnya di Nabawan.

Katanya, ia termasuk tanah yang sudah diserahkan kepada penerima manfaat geran berkenaan atau yang belum diserahkan.

“Saya juga mahu bertanya mengenai status geran komunal yang diusahakan dengan projek agropolitan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghani meminta agar kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu-isu pembangunan 

infrastruktur di Sabah, khususnya yang membabitkan Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Perikanan, serta kementerian berwajib yang lain. 

Katanya, pelaksanaan projek pembinaan atau penyelenggaraan infrastruktur awam perlu dilakukan dengan lebih terperinci dan menyeluruh selain dilaksanakan lebih teratur dan berhati-hati mengikut keperluan serta keadaan semasa.

“Ini kerana, isu-isu kemudahan infrastrukur, prasarana, khususnya seperti jalan-jalan perhubungan, sistem perparitan, bangunan atau premis awam perlu dikaji dan diteliti. 

“Pada masa ini masalah seperti bencana alam, contohnya risiko banjir, tanah runtuh dan sebagainya agak sukar dibendung mungkin penyebabnya akibat daripada pembinaan atau pelaksanaan projek awam termasuk penyelengaraan prasarana awam yang tidak diatur dengan baik. 

“Oleh itu, menerusi belanjawan tahun 2023 saya percaya kita semua akan lebih bijak untuk melihat sisi ini dan memastikan agihan bajet disediakan dalam memastikan masalah-masalah ini dapat diatasi dengan segera,” katanya.

Dalam isu pembangunan juga, Abdul Ghani turut mencadangkan kepada kerajaan untuk memberi fokus kepada isu-isu pertikaian tanah terbiar atau Idle Land supaya badan-badan pelaksana kerajaan diberi peluang untuk meneroka peluang yang ada dalam usaha membangunkan tanah-tanah terbiar di negeri ini.

Jelasnya, menurut kajian Anim Agro Technology Malaysia, Sabah merupakan kedua tertinggi di Malaysia berdepan masalah tanah terbiar dengan keluasan 8,110.94 hektar.

“Oleh yang demikian, saya berharap agar belanjawan 2023 ini mampu merintis program pembangunan tanah tidak kira untuk sektor pelancongan, pertanian, penternakan, perikanan mahupun perindustrian selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Contohny, kawasan saya di Nabawan, kita meneliti banyak kawasan yang berpotensi dan boleh dibangunkan melalui pelbagai platform ekonomi yang dilihat boleh memberikan pulangan lumayan,” katanya.

Beliau menjelaskan kawasan seperti tanah pelancongan, pertanian dan mungkin ada sebahagian kecil tanah rizab kerajaan yang boleh dibangunkan, bukan bermaksud untuk memiliki tanah-tanah terbabit.

Sebaliknya, beliau berkata tanah terbabit wajar diusahakan kerana menerusi langkah itu boleh mewujudkan peluang pekerjaan selain merancakkan pelbagai aktiviti dalam sektor ekonomi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN