ADVERTISEMENTspot_img

Wiramuda STAR Sabah Saran Menteri Ekonomi Rujuk MA63

KOTA KINABALU – Ketua Wiramuda STAR Sabah, Jordan Jude Ellron, menggesa Menteri Ekonomi agar memastikan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Beliau menekankan kepentingan langkah ini demi menjamin pengagihan dana pembangunan yang adil antara Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.

Jordan menegaskan bahawa pelaksanaan Perkara 112C dan Perkara 112D serta Bahagian IV Jadual Kesepuluh dalam Perlembagaan Persekutuan amat penting. Perkara 112C memperuntukkan hak Sabah untuk menerima hasil bersih 40% daripada pendapatan bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah, manakala Perkara 112D pula memperincikan pemberian khas (special grant) kepada Sabah yang perlu disemak dan disesuaikan secara berkala bagi memenuhi keperluan semasa.

“Pelaksanaan peruntukan ini penting untuk memastikan Sabah menerima hak kewangannya secara adil, selaras dengan kewajipan undang-undang yang termaktub dalam MA63. Pemberian khas dan pembayaran 40% hasil negeri ini adalah instrumen utama dalam menangani ketidakseimbangan pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Jordan turut menyokong kenyataan Senator Dewan Negara, Datuk Edward Linggu, yang mencadangkan agar baki dana peruntukan untuk Sabah dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Sabah. Menurut Jordan, langkah ini penting untuk mengurangkan isu birokrasi yang sering melambatkan penyaluran dana kepada negeri, sekaligus memastikan dana tersebut dapat digunakan secara lebih efisien dan berkesan.

“Saya setuju dengan cadangan Datuk Edward Linggu. Dengan terlalu banyak birokrasi dalam sistem sedia ada, Tabung Amanah Sabah boleh menjadi mekanisme penting untuk memastikan baki dana disalurkan terus kepada negeri tanpa sebarang kelewatan yang tidak perlu,” tegas beliau.

Jordan turut menegaskan kepentingan membezakan antara peruntukan pentadbiran dan pembangunan dalam belanjawan RMK-13. Menurutnya, peruntukan pentadbiran seperti gaji penjawat awam Persekutuan, pengurusan institusi pendidikan seperti sekolah kebangsaan, serta perbelanjaan operasi untuk keselamatan dan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan.

“Perbelanjaan untuk bidang pentadbiran ini tidak seharusnya disatukan dengan belanjawan pembangunan, kerana ia akan memberi kesan langsung terhadap penyediaan dana untuk projek pembangunan seperti pembinaan infrastruktur asas, jalan raya, bekalan elektrik, dan air bersih, yang amat diperlukan di Sabah,” jelas beliau.

Dalam kenyataannya, Jordan turut menekankan keperluan mendesak untuk memberi tumpuan kepada keperluan unik Sabah, termasuk pembangunan luar bandar, penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, serta peningkatan akses kepada pendidikan dan kesihatan.

“Kerajaan Persekutuan harus memahami dan menghormati keunikan cabaran pembangunan Sabah. Merujuk kepada MA63 adalah satu kewajipan undang-undang yang perlu dilaksanakan untuk memastikan pembangunan yang adil dan inklusif,” tambahnya.

Saranan ini hadir di tengah-tengah perbincangan mengenai strategi pelaksanaan RMK-13. Sabah dan Sarawak terus memperjuangkan hak mereka dalam struktur federalisme Malaysia, terutamanya dalam memastikan pengagihan dana yang mencerminkan semangat MA63.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN