RANAU: Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ disifatkan suatu bajet yang kondusif untuk memenuhi keperluan semua pihak khasnya golongan terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.
Ketua Wiramuda Star Sabah, Kong Soon Choi menjelaskan, Bajet 2022 berjumlah RM 332.1 billion merupakan suatu bajet yang mengambil kira kepentingan semua pihak sesuai dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.
“Apa yang penting, beberapa sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kebajikan golongan memerlukan telah diberikan peruntukan sewajarnya oleh kerajaan”, jelasnya.
Katanya, peruntukan besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia adalah penting untuk memperhebatkan usaha memerangi penularan Covid-19 selain menambah fasiliti kesihatan untuk kemudahan rakyat.
Selain itu,beliau turut memuji penyediaan peruntukan tambahan bagi golongan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM 2,500 dalam Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
Kerajaan menetapkan bantuan RM 2,000 untuk mereka yang mempunyai tiga orang anak, RM 1,500 untuk dua orang anak dan RM 1,000 yang belum mempunyai anak. Manakala bagi golongan ibu dan bapa tunggal, bantuan RM 500 disediakan termasuk RM 300 kepada warga emas.
“Saya percaya, dalam tempoh penularan pandemik Covid-19, golongan berpendapatan kurang daripada RM 2,500 antara yang sangat terkesan. Dengan adanya bantuan itu, sudah tentu meringankan sedikit bebanan mereka”, kata Kong yang juga AJK Pemuda Perikatan Nasional Pusat.
Selain itu, Kong turut mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM 5.2 billion kepada negeri Sabah dan berharap peruntukan itu bakal merealisasikan agenda pembangunan negeri ini.
Tegasnya, daripada jumlah yang diperuntukkan itu, diharap mampu melancarkan beberapa sektor pembangunan seperti pembaikan jalan luar bandar, bekalan air, elektrik dan pemasangan lampu jalan kampung.
“Isu-isu utama seperti kerosakan jalan raya, gangguan bekalan air dan elektik antara agenda yang wajar diberi keutamaan. Diharap peruntukan itu mampu memberi sinar gembira kepada kumpulan sasar yang terjejas”, tegasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Namun demikian, Kong menegaskan jika peruntukan dalam bajet itu masih tidak mencukupi untuk agenda pembangunan negeri Sabah, Kerajaan Negeri perlu terus mendapatkan bantuan tambahan yang sewajarnya.
“Sabah merupakan sebahagian daripada penyumbang kepada sumber pendapatan besar negara. Bajet RM 5.2 billion itu jika masih tidak mampu memenuhi agenda pembangunan di Sabah, Kerajaan Negeri perlu segera cadangkan penambahan”, katanya.
Ucapan Bajet 2022 setebal 83 muka surat telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat di Dewan Negara. Dalam ucapan pembukaannya, beliau menyifatkan nilai peruntukan bajet tersebut merupakan yang tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini.