RANAU: Bajet 2022 yang bakal dibentangkan Kerajaan pada Jumaat ini diharapkan mampu menyelesaikan beberapa isu pembangunan infrastruktur tertunggak di negeri Sabah khasnya yang melibatkan keperluan utama penduduk.
Ketua Wiramuda Star Sabah, Kong Soon Choi (gambar)berkata, beliau yakin kerajaan dibawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yakob selaku Perdana Menteri Malaysia telah menggariskan peruntukan sewajarnya kepada pembangunan negeri Sabah yang mampu menyelesaikan isu-isu infrastruktur yang membelenggu rakyat Sabah selama ini.
“Besar harapan saya agar bajet itu nanti akan mampu menyelesaikan isu-isu tertunggak seperti pembaikan jalan-jalan raya utama di kampung-kampung yang mempunyai kepadatan penduduk, lebuh raya Pan Borneo serta kemudahan asas lain termasuk menaik taraf sistem telekomunikasi dan musibah banjir yang kerap melanda daerah-daerah tertentu di Sabah”, katanya.
Kong turut menyokong usaha kerajaan dalam memulihkan semula sektor yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 termasuk penyediaan dana bantuan kepada golongan yang kehilangan pendapatan akibat diberhentikan pekerjaan dan warga emas yang menderita penyakit kronik.
Tegasnya, kerajaan sekurang-kurangnya boleh mempertimbangkan suatu insentif khas kepada golongan warga emas yang menghadapi penyakit kronik untuk mereka mendapatkan rawatan susulan yang lebih kondusif.
Dalam masa sama, beliau juga optimis agar segala peruntukan yang bakal diterima Kerajaan Negeri Sabah dalam bajet itu kelak dilaksanakan sehingga benar-benar mencapai kumpulan sasaran akar umbi.
“Jika segala peruntukan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah benar-benar sampai keperingkat akar umbi dan mampu menyelesaikan semaksimum isu-isu rakyat, kerajaan akan terus mendapat kredit terbaik daripada rakyat’’, tegas Kong dalam satu kenyataan pada Rabu.