gambar hiasan
MESKIPUN banyak kes penipuan sindiket Love Scam didedahkan pihak berkuasa kepada masyarakat, namun malangnya masih ramai lagi menjadi mangsa.
Baru-baru, seorang ibu tunggal yang juga penjawat awam dilaporkan kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan ‘jerat’ cinta seorang lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook pada November tahun lalu.
Dalam kejadian di Kelantan itu, wanita berusia 44 tahun terbabit telah berkenalan dengan suspek yang kononnya berpangkat ‘Datuk’ dan menetap di Amerika Syarikat.
Sepanjang tempoh lima bulan perkenalan mereka, mangsa sanggup mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji miliknya dan anak-anak selain membuat pinjaman bank untuk memberi duit kepada lelaki itu.
Namun, suspek memberitahu kononnya dia dalam proses berpindah ke Malaysia untuk bekerja dan mendakwa kad kreditnya pula mengalami masalah untuk digunakan.
Suspek kemudian meminta wang daripada mangsa untuk pelbagai tujuan. Wanita itu yang terpedaya telah membuat sekurang-kurangnya 59 transaksi pembayaran ke 10 akaun bank milik individu berbeza dengan jumlah keseluruhan RM223,010.
Pada Mac lalu, seorang pesara guru wanita berusia 66 tahun di Negeri Sembilan juga kerugian RM38,000 apabila wangnya lesap diperdaya sindiket terbabit.
Perkenalan mangsa dengan seorang individu itu bermula pada Julai tahun lalu dan mereka kemudian menjadi rakan baik di alam maya sehingga wanita itu sanggup menuruti segala arahan suspek.
Berdasarkan statistik, kebanyakan golongan mangsa adalah janda berusia 40 tahun ke atas serta bekerja di syarikat swasta.
Bagi tempoh dua tahun iaitu 2019 dan 2020, golongan janda paling ramai ditipu sindiket tersebut melibatkan seramai 1,750 orang.
Mengulas lanjut mengenai kes penipuan Love Scam yang tiada kesudahannya itu, penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, beberapa faktor yang menyebabkan Love Scam masih wujud dan terus berleluasa.
Antara faktor utama yang dapat dilihat adalah kebanyakan mangsa begitu terpedaya dengan rupa paras dan kewangan suspek selain faktor seks.
“Kata-kata manis yang dijanjikan suspek juga mudah menundukkan wanita terutama yang berusia dan kaya,” katanya ketika dihubungi.
Shahul Hamid berkata, kebanyakan sindiket memperdaya mangsa selepas melihat kemewahan yang dipaparkan di media sosial.
“Selain itu, mereka bijak mengambil kesempatan ketika mangsa meluahkan rasa sedih seperti keseorangan dan sebagainya di media sosial. Daripada situasi itu, sindiket ini mula mengambil kesempatan dan ‘cucuk jarum’,” ujarnya.
Shahul Hamid berkata, jalan penyelesaian terbaik adalah mangsa sendiri tidak perlu melayan kewujudan individu yang tidak dikenali dalam laman sosial.
“Jika terdapat individu yang meragukan, lebih-lebih lagi melibatkan warga asing di alam maya, usah dilayan dan sesekali jangan tunjuk kemewahan kerana itu mengundang sindiket terbabit untuk ‘mengintai’ kekayaan yang dimiliki,” katanya.
Pendek kata, bagi mengelak menjadi mangsa sindiket Love Scam, penulis menganggap, mangsa sendiri perlu bertindak ‘awal’ dengan tidak memberi peluang sindiket ini merosakkan kehidupan mereka. -K! ONLINE