25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

WARTAWAN, MEDIA MASSA PENTING UNTUK PEMODENAN NEGARA: AZIZAH


Kenangan…..Azizah, Dr. Rem.bergambar kenangan dengan pengamal media pada Malam Aspresiasi Media di sini.

KOTA KINABALU: Peranan wartawan dan media massa hari ini masih relevan dalam membantu proses kemajuan dan pembangunan negara.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, penulisan media massa sejak dahulu amat penting bagi mengubah pemikiran masyarakat khususnya menyalurkan imput-imput positif dan membina.

Katanya, kemajuan teknologi yang berkembang pesat hari ini pula menuntut peranan media massa yang lebih bertanggungjawab, jujur dan amanah.  

“Betul seperti kata pepatah, ‘mata pena lebih tajam dari mata pedang’…. manakala dalam konteks IDS, media sebagai penghubung mendekatkan kementerian dengan masyarakat luar bandar menerusi liputan isu-isu pembangunan luar bandar yang relevan dan konsisten sepanjang tahun.

“Kemahiran mengenai dasar kerajaan dan isu semasa seharusnya dikuasai oleh semua wartawan sebagai usaha memastikan peranan profesion kewartawanan dalam pembangunan negara mampu di galas dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Apresiasi Media di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Prof Madya Datuk Dr. Ramzah Dambul dan ahli lembaga pengarah IDS.

Menurut Azizah, peranan pengamal media juga sebagai perisai dalam menangkis berita-berita palsu yang mudah tersebar di media sosial selain membetulkan persepsi masyarakat terhadap sesuatu isu.

“Macam-macam bidang pelaporan berita yang dibuat oleh wartawan kita dan kita boleh tahu semua info terkini, kerana adanya golongan wartawan yang bekerja siang malam demi untuk memastikan audien memperoleh berita yang sahih dan diyakini.

“Kita juga dapat mengetahui segala maklumat yang di luar jangkauan pengetahuan kita dengan adanya laporan berita mereka, misalnya kes jenayah dan mahkamah, penipuan, kes buli siber, perkembangan politik semasa dan juga hiburan,” katanya lagi.

Jelas beliau, media arus perdana penting dalam memainkan peranan dan tanggungjawabnya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman dan bahayanya jika terjebak dengan jenayah media sosial.

Tambahnya,  perkembangan platform media sosial tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menyebar elemen kebencian antara kaum dan agama, menghasut dan menyebar fitnah serta perkara negatif lain yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Dalam persekitaran ekonomi mencabar ketika ini, industri media antara segmen ekonomi yang turut terkesan termasuk penutupan media utama dan pengecilan operasi.

“Peranan dan sumbangan wartawan dalam pembangunan negara sememangnya sangat relevan. Itulah yang telah, sentiasa dan tentunya berlaku pada masa akan datang,” ujarnya

Tegas Azizah, pemain industri media juga perlu mencari pendekatan baharu yang lebih menarik dan kreatif termasuk membanyakkan cerita-cerita berunsur ‘human interest’ serta kejadian unik, supaya mampu menarik perhatian masyarakat umum, sekali gus mencetuskan minat untuk teruskan membaca surat khabar.

 “Saya yakin rakan-rakan wartawan kita sangat berpengalaman dan arif dalam bidang kerjaya mereka, khasnya dalam memberikan laporan berita yang dekat di hati audien.

“Kerjaya wartawan adalah sebuah kerjaya yang memerlukan komitmen yag tinggi, kesabaran, pengorbanan dari segi masa, dan pastinya saya berharap agar rakan-rakan wartawan kita terus diberikan kesihatan yang baik untuk mereka terus berkhidmat menjadi penyampai maklumat sahih kepada kita semua.

“Terima kasih kepada semua rakan-rakan wartawan dan pengamal media yang bersama-sama kita dalam menyebarkan maklumat semasa berkaitan IDS untuk pengetahuan rakyat di luar sana,” ujar Azizah lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN