25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Warisan Mohon Penjelasan JPS Mengenai Rumah Penduduk di Kg. Binai & Kg. Mansalima

TENOM: Cheld Lind, Calon Parti Warisan Sabah bagi DUN N.42 Melalap, tampil meminta penjelasan segera daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah berhubung laporan bahawa beberapa rumah penduduk di Kampung Binai dan Kampung Mansalima didapati berada di luar kawasan perlindungan tembok Rancangan Tebatan Sungai Padas yang kini sedang dalam pembinaan.

Penduduk memaklumkan bahawa jajaran tembok projek “Rancangan Tebatan Sungai Padas, Lembangan Sungai Padas, Sabah” itu tidak meliputi sebahagian kawasan penempatan yang sebelum ini sering terjejas setiap kali banjir besar.

Selain isu keselamatan penduduk, Cheld Lind turut menekankan kebimbangan implikasi terhadap hidupan liar, khususnya spesies yang bergantung kepada laluan semula jadi di sepanjang Sungai Padas. Pembinaan tembok yang panjang dan berterusan itu dikhuatiri:
• Menghalang pergerakan hidupan liar seperti babi hutan, kijang, biawak, landak dan haiwan kecil lain untuk merentas ke kawasan habitat asal mereka;
• Meningkatkan risiko konflik manusia-haiwan, apabila haiwan mencari laluan alternatif dan memasuki kawasan kampung;
• Mengganggu ekosistem sungai, terutamanya spesies akuatik yang bergantung kepada fungsi semula jadi tebing sungai bagi pembiakan dan pencarian makanan.

Cheld Lind berkata penduduk memerlukan jawapan jelas dan rasmi daripada JPS Sabah mengenai beberapa perkara utama:
1. Rasional teknikal pembinaan tembok yang tidak merangkumi kawasan penempatan di Kg. Binai dan Kg. Mansalima.
2. Sama ada projek ini mempunyai fasa lanjutan untuk melindungi kawasan berisiko tinggi yang masih terdedah.
3. Apakah mitigasi banjir alternatif disediakan untuk kawasan yang tidak terlindung, seperti laluan lencongan air atau kolam takungan.
4. Bagaimana JPS menangani impak terhadap hidupan liar dan ekosistem, termasuk pembinaan segmen “ecopassage” atau laluan khas untuk haiwan.
5. Apakah risiko keselamatan jangka panjang kepada penduduk apabila projek siap sepenuhnya.

Beliau menegaskan bahawa isu ini bukan sahaja melibatkan keselamatan manusia, tetapi juga keseimbangan ekologi yang menjadi ciri utama kawasan pedalaman Tenom.

Projek tebatan banjir berkenaan yang dilaksanakan oleh Minfajaya Sdn. Bhd. telah bermula pada 4 November 2024 dan dijadualkan siap pada 1 Mei 2027, seperti tertera di papan makluman projek.

Cheld Lind menggesa JPS Sabah memberikan penjelasan segera agar penduduk Kg. Binai dan Kg. Mansalima tidak terus berada dalam keadaan ketidaktentuan, dan pada masa yang sama memastikan projek ini tidak mengorbankan keselamatan manusia serta kelestarian alam sekitar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN