GAMBAR: Rusdin bersama Armizan, Jonathan dan tetamu lain disambut sebaik tiba di lokasi acara pada Sabtu.
RANAU: Memelihara warisan budaya sambil merangkul pembangunan adalah penting dalam memperkukuh identiti komuniti dan memastikan kemajuan masa depan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman semasa sambutan Pesta Kaamatan sulung bagi DUN Paginatan, Sabtu lalu.
Rusdin, yang juga Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah, berkata budaya memainkan peranan penting dalam membentuk nilai seperti kerjasama, saling menghormati dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat DUN Paginatan 2026 yang diadakan di Dewan Kampung Kilimu, di sini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Turut hadir Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Pengarah Program merangkap Pengerusi Persatuan Kebudayaan Etnik Dusun Ranau (PKEDR), Kereen Doumi; wakil Perbadanan Pinjaman Sabah serta pemimpin komuniti setempat.
Rusdin mengalu-alukan kehadiran Armizan bersama delegasi ke Paginatan serta merakamkan penghargaan atas kesudian menghadiri dan merasmikan sambutan berkenaan.
Beliau berkata, Sabah menyambut Pesta Kaamatan setiap tahun sepanjang Mei dengan pelancaran peringkat negeri tahun ini berlangsung di Papar pada 1 Mei lalu.
Menurutnya, sambutan turut diadakan di seluruh daerah di Sabah termasuk di Lembah Klang dan Johor sebelum kemuncaknya pada sambutan peringkat negeri di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang pada 30 dan 31 Mei ini.
“Penduduk Paginatan sentiasa dekat dengan sambutan Kaamatan kerana perayaan ini diraikan sebagai satu komuniti dan keluarga.
“Ini membuktikan budaya tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat dan rakyat yang menjunjungnya,” katanya.
Memetik pandangan cendekiawan negara, Syed Hussein Alatas, Rusdin berkata pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kemajuan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi nilai budaya, pemikiran kritis dan pengukuhan identiti masyarakat.
Beliau berkata, penganjuran julung kali sambutan peringkat kawasan pilihan raya itu memberi nilai tambah kepada pembangunan komuniti menerusi promosi seni tradisional, makanan tempatan, kraftangan, adat resam dan industri kreatif yang mampu menyumbang kepada ekonomi setempat serta sektor pelancongan.
Katanya, keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan budaya amat penting bagi memastikan warisan tradisional terus subur di tengah perubahan zaman.
Pesta Kaamatan Paginatan tahun ini membawa tema “Momogompi Koubasanan, Popoingkakat Tinungkusan” atau “Memelihara Budaya, Mengangkat Warisan”.
Menurut Rusdin, tema itu mencerminkan harapan agar budaya tradisional terus dihargai generasi muda selain menjadi pemangkin perpaduan dan ekonomi komuniti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang, penaja dan jawatankuasa penganjur yang memastikan kelancaran program berkenaan.
Penghargaan khas turut diberikan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup atas penganjuran Program Jualan Rahmah sempena sambutan itu yang membolehkan penduduk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Rusdin juga mengucapkan terima kasih kepada Sabah Credit Corporation selaku tuan rumah bersama dan penaja utama serta Persatuan Kebudayaan Etnik Dusun Ranau atas peranan sebagai penganjur dan tuan rumah bersama acara tersebut.



