ADVERTISEMENTspot_img

KARNIVAL SEMARAK PERPADUAN BAHASA MBM/MBI DAN KESENIAN ZON UTARA MERIAH, LIBATKAN SEMBILAN SEKOLAH RENDAH

TAHNIAH……..SK. Lohan Johan (dua kiri), SK. Napong Naib Johan (tengah) dan SK. Poring tempat ketiga merakam gambar bersama Ladius dan Emily sempena program itu.

Oleh: Salwah Aramat

RANAU: Karnival Semarak Perpaduan Bahasa MBM/MBI dan Kesenian Peringkat Zon Utara berjaya dianjurkan dengan meriah menerusi penglibatan sembilan buah sekolah rendah sekitar Zon Utara dalam usaha memperkasakan penguasaan bahasa serta bakat kesenian murid.

Program yang julung kali diadakan di peringkat Zon Utara itu dikelolakan oleh Sekolah Kebangsaan Napong Ranau selaku tuan rumah dengan kerjasama pihak sekolah-sekolah terlibat serta sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Ladius Machi yang hadir mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd. Kahar.

Dalam ucapannya, Ladius berkata penganjuran karnival seumpama itu mampu menjadi platform terbaik dalam memupuk perpaduan, memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta mengembangkan potensi murid dalam bidang kesenian dan komunikasi.

Beliau turut memuji komitmen pihak sekolah dan guru-guru yang sentiasa berusaha menyediakan ruang kepada murid untuk menonjolkan bakat dan keyakinan diri melalui penyertaan aktif dalam program berbentuk pendidikan dan kokurikulum.

Sementara itu, Guru Besar SK Napong Ranau selaku pengelola program, Emily William berkata, karnival tersebut bukan sekadar memenuhi takwim tahunan sekolah, malah menjadi wadah penting untuk mencungkil bakat, membina keyakinan diri serta memilih wakil terbaik bagi membawa nama Zon Utara ke peringkat daerah Ranau pada masa akan datang.

Sebanyak sepuluh acara telah dipertandingkan sepanjang dua hari program berlangsung pada 21 hingga 22 Mei 2026. Antaranya ialah Bicara Berirama, Pidato, Pesta Pantun, Bercerita, Public Speaking, Dare To Spell, Story Telling, Nyanyian Solo, Scramble dan Poetry Recitation yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta dan guru pengiring.

Johan keseluruhan pertandingan tersebut ialah SK Lohan Ranau, manakala naib johan disandang oleh SK Napong Ranau dan tempat ketiga menjadi milik SK Poring Ranau hasil pencapaian cemerlang peserta sekolah masing-masing sepanjang pertandingan berlangsung.

Menurut Emily, penganjuran karnival itu juga menjadi bukti bahawa kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti mampu menjayakan sesuatu program dengan cemerlang demi pembangunan sahsiah dan potensi murid.

“Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia muafakat.
Kejayaan program ini adalah hasil komitmen dan kerja keras semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya sambil berharap karnival itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai acara tahunan Zon Utara.

Beliau turut mengharapkan murid-murid yang terpilih mewakili Zon Utara ke peringkat daerah agar memikul amanah dengan penuh semangat serta menggandakan latihan demi meraih kejayaan kelak. Katanya, bagi murid yang belum berjaya, pengalaman yang diperoleh perlu dijadikan pembakar semangat untuk terus bangkit dan mencuba lagi pada masa hadapan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua PIBG SK Napong Ranau, Shafie Suamin, Ketua Kampung Napong 1 Ranau, Samin Sabati, JPKK Kampung Napong 1 Ranau, Hamiri Johnny serta barisan PIBG dan warga sekolah SK Napong Ranau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN