31 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Waris tiga kanak-kanak dicari

Dari kiri, Nur Putri Idrus, Sahirah dan Siti Shernalyn Ema


RANAU: Pejabat Kebajikan Daerah ini sedang mencari ahli keluarga dan waris kepada tiga orang kanak-kanak yang ditinggalkan oleh ibu bapa kandung mereka sejak kecil bersama keluarga angkat di sini.


Pelindung di Pejabat Kebajikan Daerah Ranau, Halisah binti Baharudin memberitahu bahawa ketiga kanak-kanak perempuan berumur dalam lingkungan 4 – 10 tahun itu ditinggalkan begitu sahaja oleh ibu kandung mereka tanpa sebarang dokumen.


Kanak-kanak tersebut, Nur Putri Idrus (9 tahun), Sahirah (4 tahun) dan Siti Shernalyn Ema (10 tahun) telah ditempatkan dalam jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) melalui perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Ranau pada 29 September 2022.


“Seorang wanita tanpa memperkenalkan diri telah meninggalkan kanak-kanak kepada penjaga iaitu Encik Idrus bin Mohamad pada 29 Disember 2013 semasa beliau sedang membersihkan kereta di lot parkir rumah di University Condominium Apartment (UCA), Kota Kinabalu.


“Pelindung kini dalam usaha mengesan ibu kandung kanak-kanak atau waris kanak-kanak yang telah menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan bagi tujuan penempatan dan kebajikan kanak-kanak selanjutnya,” jelas Halisah.


Seterusnya, kanak-kanak bernama Sahirah pula telah dirujuk oleh penjaga kerana penjaga tiada dokumen penjagaan yang sah terhadap kanak-kanak.


“Berdasarkan kenyataan penjaga, kanak-kanak itu telah diserahkan oleh seorang kenalan yang disyaki ibu kandung di kediaman beliau di Kg Kigiok, Ranau pada Julai 2018.


“Sahirah ditinggalkan dengan penjaga dengan alasan ibu kandungnya ingin ke Tamu Pekan Ranau. Namun setelah beberapa jam ditinggalkan, ibu kandungnya tidak muncul untuk mengambilnya semula,” katanya.


Halisah menambah bahawa menurut penjaga, beliau telah menghubungi semula ibu kandung kanak-kanak namun ibu kandung menyatakan enggan menjaga kanak-kanak dan meminta kepada penjaga untuk mengambil dan menjaga kanak-kanak tersebut.


“Penjaga juga menyatakan telah cuba mencari ibu kanak-kanak di kediamannya di Telipok tetapi ibu kanak-kanak tidak berada di kediaman tersebut.


“Memandangkan penjaga tidak mempunyai hak penjagaan ke atas kanak-kanak maka beliau tidak dapat menguruskan urusan yang melibatkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak,” katanya.


Semantara itu, bagi kanak-kanak ketiga, Siti Shernalyn Ema, pihak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Daerah Ranau telah menerima aduan daripada penjaga kanak-kanak dikenali Puan Redinah binti Kinsing yang beralamat di Kg Balisok Ranau berhubung pengabaian kanak-kanak oleh ibu kandungnya.


“Siasatan awal mendapati seorang wanita yang tidak dikenali tinggal berjiran dengan beliau meminta bantuan untuk menyambut kelahiran cucu.


“Namun pada hari yang sama, wanita tersebut telah menyerahkan bayi yang baru dilahirkan kepada penjaga dengan alasan mereka mahu berpindah dan meminta penjaga untuk memelihara anak tersebut.


“Penjaga telah berusaha untuk menjejaki ibu kandung dan kanak-kanak namun usaha pencarian tidak berjaya dilaksanakan,” katanya.


Sehubungan itu, Halisah menjelaskan bahawa jabatannya mengalu-alukan waris atau mana-mana individu yang mengenali waris kanak-kanak untuk menghubunginya di talian 088-870509, atau tampil ke Pejabat Kebajikan Daerah Ranau.


“Ini bagi memberikan maklumat yang dapat membantu Jabatan mengesan ibu kandung kanak-kanak, di samping membantu Mahkamah membuat keputusan terbaik bagi penempatan dan kebajikan kanak-kanak berkenaan,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN