BANTUAN…. Bashir menyampaikan bantuan “Back To School Ceria’ kepada salah seorang murid yang hadir pada majlis tersebut.
LABUAN: Warga Labuan yang memiliki pelbagai kaum, sentiasa mengutamakan semangat perpaduan dan sikap toleransi.
Demikian kata Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias ketika berucap dihadapan lebih 100 ahli penganut agama Hindu sempena program ‘Back To School Ceria’ yang diadakan di perkarangan Kuil Thirumurugan, Jalan Membedai di sini, pada Ahad.
Bashir juga bersyukur kerana masyarakat Labuan sentiasa mengutamakan nilai nilai murni dan sikap toleransi yang tinggi dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum.
“Sikap toleransi yang tinggi serta menghormati budaya semua kaum merupakan salah satu kejayaan Labuan dalam memupuk semangat perpaduan dikalangan pelbagai kaum sekaligus membantu kerajaan dalam merealisasikan konsep Keluarga Malaysia Teguh Bersama” katanya.
Hadir sama, Presiden Persatuan Penganut Agama Hindu Labuan, Datuk Ramasamy a/l Rengasamy dan Pengerusi Pertubuhan Pengurusan Kuil Thirumurugan Labuan, Supramaniam a/l Muniandy.
Pada majlis itu, Bashir yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan menyerahkan peralatan sekolah kepada 30 murid anak-anak kaum India (penganut hindu) yang keluarga mereka kurang berkemampuan.
Bashir juga turut menghulurkan sumbangan 50 kit bakul makanan untuk diagihkan kepada masyarakat India yang memerlukan bantuan.
Terdahulu sebelum itu, beliau telah dibawa meninjau projek pembinaan kuil Thirumurugan yang baharu bagi menggantikan kuil lama yang berusia lebih 50 tahun.
Projek kuil Thirumurugan yang dijangka siap pada tahun 2023 itu bernilai RM3.5 juta hasil sumbangan dan bantuan daripada ahli ahli korporat, sukarelawan dan masyarakat India.