BANTUAN…Bashir menyerahkan bantuan MyBeras kepada penduduk di kawasan MPP Subzon4 secara pandu lalu sambil diperhatikan Mohd Dzulfaizal.
LABUAN: Walaupun kes jangkitan COVID 19 di Labuan menunjukan penurunan yang memberangsangkan, namun warga Labuan diminta terus patuh kepada prosedur operasi standart (SOP) serta sentiasa mengamalkan kebiasaan norma baharu bagi memutuskan rantaian wabak COVID 19 yang telahpun melanda negara sejak hampir setahun lalu.
Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias berkata, warga Labuan perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan mengamalkan pembudayaan norma baharu bagi memutuskan rantaian wabak jangkitan COVID 19 di pulau bebas cukai ini.
“Jika kita tidak mahu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjang, maka kita mesti patuh akan arahan KKM (Kementerian Kesihatan) dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi diri dengan mematuhi SOP supaya kita dapat dalam keadaan yang lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Bantuan MyBeras peringkat MPP Zon 3 secara pandu lalu di perkarangan Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada,, dekat sini, pada Ahad.
Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan mengucapkan terima kasih kepada petugas di barisan hadapan terutamanya kakitangan Jabatan Kesihatan dan anggota keselamatan seperti Polis, Tentera, APM dan Rela atas tekanan kerja yang luar biasa demi menjaga warga Labuan khususnya semua bebas daripada jangkitan.
Menyentuh mengenai bantuan MyBeras @Wilayah Prihatin beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Wilayah yang telah banyak membantu rakyat Labuan dalam menghulurkan bantuan terutamanya dalam membantu golongan yang terkesan dengan pendamik COVID 19.
Hadir sama pada program tersebut, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan, Pengerusi MPP Subzon 4, Omar Misir dan Kepten (PA) Japli Siping selaku ketua pemantau SOP mewakili Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD).