PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam satu kemalangan jalan raya di daerah ini awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendent Sammy Newton dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dari arah Jalan Bundusan menuju ke Taman Adamas dipercayai melanggar mangsa yang sedang berjalan di kawasan berkenaan.
Akibat pelanggaran itu, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 77 tahun, tercampak ke dalam longkang di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah.
Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



