32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Warga emas hilang di hutan ditemui meninggal dunia

Mayat mangsa ditemui pasukan SAR terapung dalam air di kawasan air terjun.

RANAU: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari rotan di kawasan hutan Kampung Patau, di sini, sejak 21 Julai lalu, ditemukan meninggal dunia, hari ini.

Mayat mangsa Jurin Sahantoh, 62, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan tidak sempurna dan terapung dalam air di kawasan air terjun, kira-kira jam 11 pagi.

Mangsa dikatakan keluar rumah pada 21 Julai lalu untuk mencari rotan namun tidak pulang ke rumahnya selepas itu.

Isteri mangsa yang risau akan keselamatan suaminya telah memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya sebelum gerakan mencari mangsa bersama penduduk dijalankan namun gagal dijumpai selepas sepuluh hari pencarian.

DSP Simiun Lomudin

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya hanya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada 31 Julai.

“Operasi SAR dilancarkan bermula 2 Ogos lalu membabitkan sembilan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), kelab pacuan empat roda Ranau dan orang kampung.

“Mangsa ditemui oleh pasukan SAR di kawasan air terjun kira-kira dua kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) jam 11 pagi, hari ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Simiun berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna terapung di dalam air di kawasan air terjun.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ranau untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

tamat

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN