32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mac 29, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Warga asing didakwa bersubahat pegawai JPN buat KP palsu

KOTA KINABALU: Seorang wanita berumur 50 tahun yang memegang dokumen pengenalan sementara, didakwa bersubahat dengan seorang Penolong Pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat satu kad pengenalan palsu.


Sabaria Ruddin mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat kepada pertuduhan terhadapnya pada Jumaat.


Tetapi penjatuhan hukumannya ditangguhkan ke 3 Februari kerana dokumennya perlu disahkan.


Dia dituduh bersubahat dengan Safiah Alijang, 54, untuk membuat dokumen palsu dengan nombor siri 991207-12-5135 di bawah nama Muhamad Daniel Hafiez Bin Arif @ Jali pada pukul 3.05 petang 22 Mei 2013 di JPN cawangan Pitas.


Kesalahan di bawah Seksyen 109/465 Kanun Keseksaan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sementara menunggu tarikh itu, mahkamah memerintah Sabaria, yang tidak diwakili, direman lanjut.


Terdahulu, Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantah jaminan diberikan kepada Sabaria atas sebab tertuduh bukan rakyat Malaysia dan hanya memegang dokumen pengenalan sementara.


Pada 1 Ogos 2019, Safiah yang juga Penolong Pendaftar JPN didakwa membuat dokumen palsu itu dan dia meminta meminta dibicarakan bagi tuduhan tersebut. Safiah dilepaskan dengan jaminan sementara menunggu pelupusan kesnya.


Dalam kes lain, seorang lelaki berumur 32 tahun meminta dibicarakan bagi tiga tuduhan menggunakan dokumen palsu.


Bagi tuduhan pertama hingga ketiga, Mohammad Nazrul Nordin didakwa menggunakan tiga penyata bank bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016 yang dia tahu kesemuanya palsu.


Kesalahan-kesalahan itu didakwa berlaku di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, di sini, pada 24 November 2016.


Mahkamah menetapkan 16 Mac untuk pengurusan kes dan melepaskan Mohammad Nazrul dengan jaminan RM10,000 bersama deposit RM6,000 dan seorang penjamin tempatan.


Mohammad Nazrul juga diperintah untuk menyerahkan pasport antarabangsanya, jika ada, kepada mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM di sini sekali dalam dua bulan.


Dia juga diberi amaran supaya tidak mengusik saksi-saksi pendakwaan. Peguam Azhier Farhan Arisin mewakili Mohammad Nazrul. – Daily Express

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN