Nur Idayu
KOTA KINABALU: Horizon Hotel Kota Kinabalu akan menganjurkan Program Derma Darah Tahunan pada 27 Jun 2026 (Sabtu) dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Horizon Hall, Tingkat 1, Horizon Hotel Kota Kinabalu, dengan kerjasama KPJ Sabah Specialist Hospital dan Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran Horizon Hotel, Nur Idayu Bujang berkata program tersebut merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel yang dilaksanakan secara konsisten bagi menyokong usaha pihak hospital dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit di Sabah.
“Setiap beg darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu kepada mereka yang memerlukan rawatan. Kami percaya bahawa usaha kecil daripada setiap individu mampu memberikan impak besar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, program itu turut menjadi platform untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai aktiviti kesukarelawanan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendermaan darah secara berkala.
“Melalui program ini, kami berharap dapat menyatukan komuniti daripada pelbagai latar belakang untuk bersama-sama menyumbang kepada satu tujuan yang sangat bermakna iaitu menyelamatkan nyawa. Setiap titisan darah yang didermakan adalah hadiah yang tidak ternilai buat mereka yang memerlukan,” tambah beliau.
Sebagai penghargaan kepada para penderma, hadiah percuma akan diberikan kepada semua penderma yang berjaya, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Kemudahan parkir percuma juga disediakan kepada penderma dan pengunjung sepanjang program berlangsung.
Orang ramai dijemput hadir dan mengambil bahagian dalam program berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuhkan bekalan darah negeri serta membantu golongan yang memerlukan.



