SUPT. Muhamad Farid Ahmad.
LABUAN: Seorang wanita tempatan yang masih menjalani proses kuarantin (ANNEX 14b) selepas pulang dari tanah besar Sabah ditahan polis kerana ingkar perintah Kuarantin.
Wanita berusia 32 tahun yang memakai gelang berwarna merah jambu itu ditahan kira-kira jam 2.45 petang ketika berada di sebuah kedai runcit di pusat bandar untuk membeli barang, pada Jumaat.
Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, wanita itu ditahan hasil maklumat daripada pemilik kedai runcit berkenaan yang bimbang dengan kehadiran seorang pelanggan yang memakai gelang kuarantin.
Farid berkata, wanita berkenaan sebelum ini telah masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27/09/2020 dan telah mendapat perintah kuarantin (ANNEX 14b) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Labuan bermula 27/09/2020 sehingga 10/10/2020.
“Bagaimanapun wanita berkenaan telah diarahkan menjalani sambungan kuarantin di rumah bermula 16/10/2020 sehingga 29/10/2020 sementara menunggu keputusan ujian saringan kali kedua. Namun suspek ingkar dengan mengabaikan perintah kuarantin tersebut dengan singgah ke kedai runcit bersama suaminya dalam perjalanan pulang dari hospital” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Farid berkata, kes diklafikasikan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya kepada nyawa yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 6 bulan atau denda, atau kedua-duanya.
Kes juga kata Farid turut diklafikasikan di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana ingkar arahan perintah yang ditetapkan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 6 bulan atau denda, atau kedua-duanya” katanya.
“Bagi kesalahan kali kedua di bawah Seksyen 22(b) hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, atau denda atau kedua-duanya” katanya.