ADVERTISEMENTspot_img

Wanita OKU hilang 42 tahun terima perhatian, bantuan daripada Dr. Joachim

Dr. Joachim ketika melawat Musiah.

RANAU, 26 Julai 2025: Nasib seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Musiah Kungkudu, 62, yang hilang selama 42 tahun akhirnya terbela apabila menerima perhatian dan bantuan daripada Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dalam satu program turun padang di Kampung Merungin 2, di sini kelmarin.

Musiah dipercayai menjadi gelandangan selepas tidak dapat dikesan sebelum ditemui tinggal di tepi tangga di sebuah rumah penginapan di Ranau. Dia kemudian diserahkan semula kepada ahli keluarganya di Kampung Merungin.

Wanita yang telah diceraikan oleh suaminya itu mempunyai seorang anak angkat, namun tidak mahu lagi menampung perbelanjaannya yang mengalami kecacatan pada kaki kiri, dan hanya mampu berjalan menggunakan tongkat dan kini menetap di sebuah rumah usang di kampung berkenaan.

Disebabkan keadaannya, Musiah tidak mampu bekerja dan hanya bergantung harap kepada ahli keluarga yang bekerja sebagai petani.

Prihatin terhadap nasib Musiah, Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang hadir menyantuni wanita itu bersama rombongan wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kundasang dengan menyampaikan bantuan berupa keperluan asas seperti tilam dan barangan makanan.

Dalam lawatan itu juga, Dr. Joachim mengumumkan peruntukan khas bagi membaik pulih rumah Musiah agar wanita itu dapat hidup dalam keadaan lebih selesa dan teratur.

Terdahulu dalam program yang sama, Dr. Joachim turut mengadakan pertemuan bersama penduduk Kampung Kazing, di mana beliau menyampaikan amanat dan kata-kata semangat kepada para penyokongnya di kawasan tersebut. Dr. Joachim juga menerima borang penyertaan ahli PBS baharu dari penduduk di situ.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada salah seorang penduduk kampung itu yang sudi menawarkan rumahnya sebagai pusat markas sempena Pilihan Raya Negeri akan datang.

Program diteruskan dengan penyampaian sumbangan batang paip kepada penduduk di Kampung Daramakon sebagai usaha menaik taraf kemudahan bekalan air di kawasan tersebut.

Selain itu, Dr. Joachim turut meluangkan masa menyertai sambutan Hari Keluarga Komuniti Kampung Lampaki yang berlangsung meriah di Taman Rekreasi Dolungan Campsite. Dalam ucapannya, Dr. Joachim turut mengalu-alukan kemasukan ahli baharu yang menyertai PBS dan borang keahlian disampaikan oleh wakil penduduk di situ.

Sambutan hari keluarga itu dimeriahkan lagi dengan acara-acara menarik seperti sukaneka dan cabutan tiket bertuah.

Sehubungan itu, Dr. Joachim mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program dan juga kepada penyumbang sayur-sayuran dari tanah tinggi Kundasang yang diserahkan semasa mengadakan lawatan di beberapa kampung.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN