Wanita baru kematian suami rugi RM395,200 terjerat love Scam

Home Nasional Wanita baru kematian suami rugi RM395,200 terjerat love Scam
Wanita baru kematian suami rugi RM395,200 terjerat love Scam

Terpedaya dengan jerat cinta lelaki dipercayai dari London dikenali menerusi media sosial, seorang wanita berputih mata apabila menjadi mangsa penipuan serta mengalami kerugian kira-kira RM395,200.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata wanita berusia 23 tahun yang juga seorang peniaga dan baru kematian suami itu membuat laporan polis pada 17 Sept lepas setelah menyedari ditipu individu terbabit.

Beliau berkata mangsa mengenali individu berkenaan menerusi laman Instagram yang menggunakan nama ‘CHONGWEI4580’ sejak April lepas dan telah berhubung menerusi aplikasi WhatsApp sepanjang perkenalan hingga jatuh cinta.

Menurutnya, bagaimanapun individu itu menghubungi mangsa pada 10 Sept lepas kerana kononnya bersimpati dengan nasib mangsa yang kematian suami serta ingin mengirimkan barangan mengandungi wang tunai sebanyak AS$950,000 kepada mangsa.

“Pada tiga hari kemudian mangsa menerima e-mel daripada sebuah syarikat penghantaran yang meminta mangsa menjelaskan bayaran sebanyak RM6,200 untuk melepaskan barangan itu daripada kastam.

“Bagaimanapun, individu itu mengugut mangsa untuk membuat bayaran tersebut dan bayaran lain yang telah diarahkannnya, dan sekiranya enggan berbuat demikian, mangsa akan ditangkap kerana bersubahat dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan, di Johor Bahru hari ini.

Ayob Khan berkata disebabkan ketakutan, mangsa mengikuti segala arahan itu dan telah membuat sebanyak 24 transaksi pembayaran dalam tempoh tiga hari bermula 13 Sept secara dalam talian, ke 11 akaun berbeza dengan jumlah sebanyak RM395,200.

“Sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang kiriman yang dijanjikan dan menyedari bahawa telah ditipu,” katanya.

Ayob Khan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap trend jenayah ketika ini terutama melibatkan transaksi, pelaburan dan perkenalan dalam talian menerusi media sosial.

“Gunakan aplikasi semakan atas talian yang diperkenalkan pihak berkuasa seperti ‘Semak Mule’ sebelum melakukan sesuatu transaksi kewangan,” katanya.

-Bernama-