DUA buah kapal sedang melaksanakan pemindahan minyak mentah dari kapal ke kapal di had pelabuhan Teluk Vicoria Labuan, pada Selasa
LABUAN:Victoria STS (Labuan) Sdn. Bhd mencatatkan sejarah apabila berjaya mengendalikan pengoparasian pemindahan kargo dari kapal ke kapal (STS) membabitkan minyak mentah yang pertama di pulau ini.
Pengoperasian pemindahan kargo dari kapal ke kapal (STS) telah dijalankan di kawasan had pelabuhan Teluk Victoria kira kira 10 batu nautika dari bandar Labuan, pada Selasa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Victoria STS Sdn. Bhd, Benjamin Bernad Bijion, pengoperasian STS yang dijalankan kira-kira 10 batu nautika dari Labuan itu bersesuaian bagi kapal pengangkut besar kerana kedalaman airnya yang mencecah sehingga 30 meter serta selamat dan terlindung daripada ganguan tiupan angin.
“ Selain itu pemindahan pertama yang dijalankan secara STS itu merupakan petanda baik dalam memperluaskan pembangunan ekonomi Labuan khususnya dalm sektor maritim” katanya.
Victoria STS yang mempunyai kepakaran dalam pengendalian kargo gas cecair dan petroleum luar pesisir telah mendapat kelulusan serta lesen daripada Jabatan Laut Malaysia untuk mengendalikan pengoperasian tenaga kargo dari kapal ke kapal luar pesisir di had pelabuhan Teluk Victoria Labuan.

“Ini kali pertama bagi kapal besar seumpamanya singgah di had pelabuhan Teluk Victoria dengan kapasiti muatan kargo sehingga dua juta tan metrik minyak mentah.
“Dari segi keselamatan, kami mempunyai kepakaran teknikal bagi mengendalikan operasi ini dan mematuhi tahap keselamatan yang tinggi” katanya.
Benjamin berkata, Victoria STS juga dijadual akan mengendalikan satu lagi pemindahan tenaga Kapal ke kapal membabitkan gas asli cecair (LNG) dari Australia pada akhir bulan ini.
Operasi secara kapal ke kapal (STS) adalah hasil kerjasama dengan Fendercare Marine (Asia Pacific) Pte. Ltd yang sebelum ini telah memeterai perjanjian induk bagi penyediaan perkhidmatan STS di had pelabuhan Teluk Victoria Labuan.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) Datuk Kamalanathan P. Pancanathan adalah antara tetamu yang diberi penghormatan untuk meninjau secara dekat pengoperasian pertama STS itu.
Turut sama, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Persekutuan Labuan, Alimuddin Amirudin dan Pengarah Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan Labuan, Aspalila Awang Tuah, Timbalan Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Khalid Abdul Ghani dan Timbalan Pengerusi LPA, Datuk Chin Hong Vui.
2.PEMIMPIN tempatan bersama pihak pengurusan tertinggi Victoria STS ketika menyaksikan pengoperasian pemindahan kargo minyak mentah dari kapal ke kapal.



