Jainisah (tengah) ketika menyampaikan cenderahati kepada Ahmud (dua dari kanan).
KENINGAU : Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JaPen) memperluaskan program PENTARAMA berkonsep didik hibur ke 40 sekolah tahun ini untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap dasar kerajaan, keselamatan internet dan isu buli.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, berkata inisiatif itu merangkumi Pentarama Homecoming untuk sekolah rendah serta Pentarama X Kelab Malaysiaku bagi sekolah menengah.
“Program ini menjadi platform untuk menyampaikan maklumat dasar kerajaan kepada murid dan pelajar secara lebih santai dan interaktif.
“Tahun ini, pelaksanaannya ditingkatkan kepada 20 sekolah rendah dan 20 sekolah menengah berbanding hanya 10 sekolah tahun lalu,” katanya selepas Program Pentarama X Kelab Malaysiaku di SMK Keningau II, pada Khamis.
Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Pendidikan Malaysia.
“MCMC memberi pendedahan mengenai Kempen Internet Selamat, manakala PDRM menyampaikan taklimat pencegahan buli dalam kalangan pelajar.
“Program ini berlangsung dari April hingga September dan diharap dapat meningkatkan kesedaran pelajar terhadap penggunaan internet secara selamat serta mengurangkan kes buli di sekolah,” ujarnya.
Sementara itu, Guru Besar SJK (C) Yuk Yin Keningau, Chong Vun Siong, berkata Pentarama Homecoming membantu memperkukuh semangat patriotisme, jati diri dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan murid.
Beliau juga berharap program itu diteruskan demi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu semasa serta aspek keselamatan dalam penggunaan multimedia.
Program turut diisi dengan sesi kuiz, permainan interaktif, peragaan busana etnik tempatan serta persembahan lagu patriotik.
Hadir sama, Penolong Pengarah MCMC Keningau, Syafiera Sukor; Pengetua SMK Keningau II, Ahmud Saribin; pegawai Cawangan Khas IPD Keningau, Inspektor Hazwan Kuik @ Haris serta Pegawai Penerangan Daerah Keningau, Mohd Said Kalihing./PENERANGAN



