CENDERAHATI….Joannes (enam dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Sahari sambil diperhatikan oleh kedua-dua ahli HCF dan USIA.
LABUAN: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Labuan menerima kunjungan hormat daripada badan bukan kerajaan (NGO), Hidayah Centre Foundation (HCF) yang diadakan di Pejabat USIA, dekat sini, pada Khamis.
Kunjungan Hidayah Centre Foundation yang diketuai oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif HCF, Joannes Lukas disambut mesra oleh Timbalan Ketua USIA Bahagian Labuan, Sahari Amdan.
Turut sama dalam kunjungan tersebut, Pengurus HCF Sabah, Mohd Zulazrie Dahim, Eksekutif Kanan HCF Sabah, Hissham Suherman, Eksekutif HCF Kota Kinabalu, Zulfika Sahinin dan Pengarah Jabatan Operasi HCF, Haji Ab. Rahim Abd Hamid.
Hadir sama menyambut kehadiran kunjungan Hormat HCF itu, Naib Ketua USIA Bahagian Labuan, Haji Yahya Haji Bakri dan Setiausaha USIA Bahagian Labuan, Norliha Haji Lamat.
Pertemuan hampir satu jam itu turut membincangkan kerjasama dua hala membangunkan syiar Islam khususnya dalam membantu saudara baharu (mualaf) mengukuhkan akidah, ilmu dan kefahaman Islam yang sebenar.
Disamping itu kunjungan tersebut juga untuk memperkenalkan barisan saf HCF Labuan dan berkongsi visi dan misi HCF selain meneroka peluang kerjasama antara HCF dan USIA Labuan.
Dalam pada itu, Joannes berkata, HCF merupakan sebuah pusat perlindungan dan sokongan kepada golongan saudara baharu yang memerlukan bimbingan kerohanian, berhadapan dengan masalah keluarga, kewangan dan memerlukan perlindungan sementara.
Katanya, sehingga kini HCF mempunyai 25 cawangan yang melibatkan 12 di Semenanjung, tujuh di Sabah, lima di Sarawak dan satu di Labuan yang baharu ditubuhkan.